Kelab Peminat Kereta Mini Malaysia (KPKMM) telah menganjurkan konvoi tahunan ke Thailand. Memilih Koh Phangan sebagai destinasi, ia merupakan konvoi jarak jauh kali ke-7 berturut-turut selepas berjaya ke Krabi, Koh Samui, Hua Hin, Phuket dan Pattaya sebelum ini.
Konvoi kali ini disertai 9 buah kereta Mini Klasik bersama 16 orang peserta. Ia bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara peserta dan keluarga, disamping membuktikan kemampuan kereta ini mengharungi perjalanan jauh dan mencabar.
Perjalanan dari Kuala Lumpur bermula seawal jam 7.00 pagi di R&R Sungai Buloh, menuju sempadan Bukit Kayu Hitam. Selesai urusan imigresen dan lain-lain, mereka terus ke hotel persinggahan di Hatyai untuk berehat dan bermalam.
Keesokan harinya, konvoi meneruskan perjalanan ke Jeti Donsak di Surat Thani untuk menaiki feri ke Pulau Koh Phangan. Setiba di sana, wakil dari Paradise Bungalow Resort telah sedia menunggu untuk membawa mereka ke hotel penginapan.
Sepanjang berada di pulau ini, para peserta dibantu Dagmar Dossen, peminat tegar Mini yang telah menetap di Koh Phangan. Beliau yang bertindak selaku pemandu pelancong, telah membawa mereka menjelajah ke tempat-tempat menarik sekitar pulau berkenaan. Antaranya pantai Mae Haad dan pantai Koh Ma untuk aktiviti snorkeling, pantai Nai Wok, pantai Thong Nai Pan, perkampungan nelayan Chaloklum, kafe halal Yam’s Kitchen, menyewa bot ke Bootle Beach, melawat patung King Rama V, mendaki puncak Secret Mountain, membeli-belah di pekan Thong Sala dan lain-lain.
Selepas mengucapkan selamat tinggal kepada Dagmar Dossen pada hari kelima, kesemua peserta kembali menaiki feri menuju Jeti Donsak, Surat Thani. Mereka tiba di Hatyai pada jam 7.00 malam dan menginap di sana selama 2 malam. Kesempatan tersebut digunakan untuk berehat dan membeli belah, sebelum pulang ke Kuala Lumpur pada hari kelapan.
Kepada pemilik Mini Klasik yang ingin menyertai kelab ini, hubungi Henry Chua (012-691 6733) / Rose Warzukni (018-226 2000) untuk maklumat lanjut.