Baru-baru ini Mercedes-Benz Malaysia telah melancarkan dua varian model E-Class terbaharu versi pemasangan tempatan (CKD). Model tersebut adalah E 200 Avantgarde dan E 300 AMG Line yang dijual masing-masing pada harga bermula dari RM326,943.16 dan E 300 AMG Line RM375,432.19 (harga atas jalan termasuk pengecualian SST tanpa insurans).
Sebanyak dua warna baharu ditawarkan iaitu perak (High-Tech Silver) dan juga kelabu (Grey Metallic). Bagi pelanggan yang menggemarkan penampilan elegan serta mewah, E 200 Avantgarde sesuai dengan dengan anda dengan rekaan luaran yang elegan. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan rekaan gril baharu serta lampu LED berprestasi tinggi juga lampu belakang. Model ini juga didatangkan dengan rim aloi lima jejari berkembar 18 inci.
Manakala untuk varian AMG Line, ia didatangkan dengan bampar baharu rekaan model AMG Performance, lampu utama LED Multibeam dan rim aloi AMG lima jejari berkembar 19 inci. Kedua-dua jentera mendapat sentuhan gabungan eksklusif dan mewah Mercedes-Benz. Roda stereng pelbagai fungsi dibaluti kulit asli Nappa digabungkan bahan berkualiti tinggi serta inovatif terkini dalam memudahkan pemanduan.
Bahagian konsol tengah mendapat sentuhan trim kayu, tempat duduk larasan elektrik dengan fungsi memori dan sokongan tulang belakang serta pelindung suria pada cermin belakang. Model E 200 Avatgarde dilengkapi permukaan kawalan dengan sentuhan warna hitam gloss, trim dan persekitaran menampilkan elemen aluminium.
E 300 AMG Line pula, didatangkan bumbung suria panorama dan kemasan upholsteri kulit ARTICO. Mercedes-Benz E-Class terbaharu itu mendapat khidmat enjin 2.0 liter dipadankan transmisi 9G-TRONIC, sistem suspensi AGILITY CONTROL dan DYNAMIC SELECT. E 200 Avatgarde mampu menjana kuasa mencecah 197 hp dan tork 320 Nm manakala E 300 AMG Line pula dengan kuasa 258 hp serta tork 370 Nm.
Memperkemaskan lagi ciri-ciri yang ditawarkan pada dua varian ini adalah sistem keselamatannya seperti Sistem PRE-SAFE, Bantuan Parkir Aktif PARKTRONIC, Pemantauan Titik Buta, Bantuan Brek, Sistem Pemantauan Tekanan Tayar, kamera keliling 360 darjah dan bantuan kekal laluan aktif.
Untuk tempahan atau keterangan lanjut boleh melayari laman www.mercedes-benz.com.my/e-class.
Sumber : Mekanika