Sedih sebenarnya tengok generasi baru yang mula tak kenal kereta-kereta yang pernah menjadi jaguh satu ketika dulu. Ini baru tahun 2016. Bayangkan 10, 20, 30 lagi di mana ketika tu Nissan mungkin cuma tinggal Almera, Toyota hanya ada Vios dan Honda tinggal City?
Dunia modifikasi Malaysia mungkin hanya diwarnai kereta Myvi dan K-Car. Manakala kereta-kereta olskool menjadi sangat mahal untuk dibeli. Dengan nilai ringgit bersamaan AS$4 sekarang dan barang yang semakin mahal, tak mustahil hobi mengubah suai kereta boleh pupus sama sekali. Mungkin orang beli setakat tukar sport rim/lowered sahaja lah agaknya.
Kita tak dapat lagi tengok kereta-kereta sub kompak. Apatah lagi hot hatch macam Detomaso, GTTi, Swift Cultus dan March K10. Saya masih ingat lagi waktu mula menulis semasa kamera masih guna filem, kereta-kereta macam inilah yang buat jalan raya jadi meriah.
Bukannya kereta JDM convert aksesori bila waktu perjumpaan duduk berpuak-puak. Nama je kelab, otai nak duduk dengan otai saja, yang guna barang mahal berasa kastanya mahu dilihat lebih tinggi.
Zaman Nissan Sentra B13 mungkin dah sampai ke penghujungnya. Apabila semua nak bawa kereta automatik dengan semua suis main tekan saja, di manakah keseronokannya?
Kalau nak merasa lecak minyak hitam selongkar barang kedai potong, kena main kereta ni. Seronok main kereta bukan setakat ada duit campak kat kedai dapat barang. Lebih seronok dan mencabar apabila dapat barang yang susah nak dicari. Barulah ada thrill. Kalau tidak, Rani Kulup pun bole main pakai duit je semua kan?
Kereta ini milik Wendy dari Meru Klang. Sebagai seorang peminat tegar JDM, memilih kereta ni sebagai projek memang pilihan yang tepat. Benda pertama yang dibuat ialah togelkan keseluruhan badan untuk proses coating. Biar dia tahan untuk 20 tahun lagi.
Semua bahagian kereta ditanggal dan dicat dengan teliti. Sebab sekarang tengah trend warnakan ruang enjin. Jadi kereta ini pun mengenakan warna hijau fluorescent.
Proses memasukkan enjin ternyata tak susah sangat sebab SR16 Neo VVL berkongsi dengan casis B13. Sistem ekzos ditukar kepada manifold 4-2-1, paip 2.5 inci dan peredam bunyi Jasma.
Disebabkan konfigurasi enjin dah mengambil ruang depan, maka radiator aluminium dipilih untuk dipasang di bawah cross bar depan. Penapis udara diubah suai dengan menempatkan paip Cold Air Intake yang menghala tersorok di sebalik bampar depan.
Corak batik atas rocker cover tu dibuat dengan menggunakan teknologi hydrografik water transfer. Kalau anda kreatif, benda ni boleh DIY sahaja. Janji ada barang dan teknik yang betul. Sentuhan bahagian enjin diakhiri dengan sebuah komputer Haltech Sprint 500. Haa… yang ni jangan nak pandai-pandai DIY setting dia, silap hari bulan meletup enjin.
Sistem suspensi menggunakan set boleh laras jenama DnD. Kalau tak silap Drag n Drift. Distributor dia Mun Lee kan? OK lah, kalau produk lokal pun sekurang-kurangnya dia bagi waranti dan dah tentu bendanya 100% baru. Malas saya nak ulang cerita beli absorber Mugen 2nd kat kedai potong. Dah lah mahal, terang-terang memang dah bocor. Hampeh betul. Pastu tak mau ganti.
Suspensi yang bagus tak jadi apa kalau breknya ke laut. Sentra ini dipasang dengan brek B13 JDM dan cakera ventilasi lebih besar daripada yang asal. Rim pilihan ialah Regamaster 15 inci yang dibalut dengan tayar Toyo R888. Power la, tengok selera tayar pun boleh tau pemilik jenis orang yang macam mana (if u know what i mean!)
Bahagian luar dan dalam kereta ini adalah interpretasi seorang peminat JDM ke atas kereta kelahiran Jepun. Nissan Sentra B13 bukannya macam Wira Satria atau Kancil yang banyak pilihan barang dan masih dibawa masuk dengan aktif sekali aksesorinya.
Main kereta ini perlu ada kaum dan naluri sejati, sabar dan tak bolehlah nak hari ni dapat hari ini. Kadang-kadang harga barangnya pun jadi harga merepek bila tengok kat Yahoo auction atau eBay.
Sumber : Mekanika
Website :https://www.mekanika.com.my/
Facebook :https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram :https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube :https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ