Rasanya macam baru lagi tapi yang sebenarnya, sudah lima tahun Honda Civic generasi ke-10 berada di pasaran. Diperkenalkan pada tahun 2015 dan memasuki pasaran Malaysia pada tahun 2016, ‘Civic Ketam’ ini bakal digantikan dengan model baharu tidak lama lagi.
Lazimnya, sesebuah model keluaran Jepun kitaran hayatnya hanya lima tahun sahaja. Memandangkan Civic merupakan salah satu model terpending Honda, maka kehadiran generasi Civic yang terbaharu ini pastinya sangat ditunggu-tunggu oleh peminatnya bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.
Sebagaimana yang diketahui, Civic pernah mengalami zaman kelesuan dengan kegagalan generasi kesembilan. Namun, kehadiran Civic Ketam berjaya menempatkan semula Civic di tempat asalnya. Bagi memastikan Civic terbaharu ini sekurang-kurangnya mengulangi kejayaan atau melangkaui kepopularitian yang ditempa Civic Ketam, pastinya pasukan jurutera dan juga reka bentuk Honda berhempas pulas siang dan malam.
Gagal atau tidak, semua akan terjawab sedikit hari sahaja lagi. Terbaharu, Honda telah pun menayangkan teaser berdurasi 15 saat yang memperlihatkan prototaip Civic generasi terbaharu ini yang pengenalannya akan dibuat pada 17 November ini. Seperti yang dapat dilihat, Civic ini hadir dalam bentuk sedan dan tidak lagi menggunakan lampu belakang berbentuk sepit ketam tetapi digantikan pula dengan lampu LED nipis dan rekaan yang lebih konvensional.
Manakala di bahagian hadapan, gril Solid Wing Honda nipis digabungkan bersama sepasang lampu utama LED. Kemungkinan, Civic ini bakal meneruskan rekaan sebuah fastback seperti model sekarang dan bukannya sebuah sedan tiga kotak biasa. Dalam video singkat ini, hanya bahagian luar sahaja yang didedahkan dan tidak langsung menyentuh rekaan dalamannya. Begitu juga dengan enjin yang digunakan.
Kalau penayangan teaser ini bertujuan untuk menarik minat para peminatnya, Honda memang berjaya. Apa-apa pun, kita tunggu 17 November ini di laman web yang akan dikemas kini.