Hakikatnya, model Civic EJ/EK berpintu dua ini masih kekal dalam kelas tersendiri. Ia sebuah kereta dengan status bangsawan, yang mungkin agak sukar untuk kita fahami. Berbanding kereta kebanyakan, nilainya tidak mengikut varian, usia, atau jumlah batuan. Sebaliknya bergantung kepada jenis naik taraf dan jumlah jajan yang miliki. Bayangkan sebuah kereta yang sudah menjangkau usia lebih 20 tahun, masih boleh dijual pada harga mencecah RM100K. Pelik? Itu pun ada yang beli…
Nak dijadikan cerita, kereta ini juga dimiliki oleh Gabriel. Berkenan sungguh dia dengan jentera berprestasi Honda. Memulakan hayatnya sebagai Civic EJ6 yang biasa, ia telah dijelmakan semula menjadi sebuah Civic EK9 Type R yang sebenar.
Naik taraf ini tidak hanya melibatkan kit badan, tapi turut mengetengahkan konsep yang diperkenalkan oleh Spoon. Untuk tujuan itu, beberapa bahagian utama telah digantikan dengan komponen gentian karbon dari Spoon seperti hood, spoiler dan cermin sisi.
Zaman sudah berubah dan corak modifikasi enjin model ini juga semakin matang. Kalau dulu enjin B Series Type R lebih mendapat tempat, kini salinan enjin K Series pula diberi keutamaan.
Kemasukan enjin K Series ke dalam perut kereta ini bukanlah sesuatu yang sukar. Terima kasih kepada Hasport kerana menyediakan kit cagak enjin khusus untuk tujuan ini. Pun begitu ia tidak disertakan peningkatan yang setara, kecuali perubahan untuk tujuan kosmetik. Macam kereta sebelah jugaklah…
Tumpuan Gabriel lebih kepada komposisi campuran bahan bakar, untuk penghasilan kuasa yang efisyen. Ia dimulakan dengan binaan ram udara titanium, throttle body Super90, serta manifold kemasukan Skunk2 Ultra. Sistem penyampaian bahan api pula dibantu pam petrol Walbro, rel bahan api K-Tuned dan unit regulator Sard. Untuk seliaan lebih tepat, ia kemudian ditala sepenuhnya oleh unit ECU Hondata K-Pro.
Memastikan kuasanya tidak tersekat, keseluruhan sistem ekzos perlu dibina semula. Ia dimulakan dengan unit ekstraktor Skunk2 Alpha, sebelum dihubungkan kepada paip tengah dan muffler 5Zigen 304 Border. Bagi membentuk kuasa pecutan yang meyakinkan, bahagian kotak gear telah dilapik set klac dari Ogura.
Sektor pengendalian dibantu set suspensi boleh laras Tein Monosport. Sementara sistem hentian, menggunakan kaliper monoblock dan rotor dari Spoon. Pelengkap kepada sektor ini adalah rim Spoon 16-inci, yang dipadankan bersama tayar Yokohama Advan Neova AD08R dari saiz 205/45R-16.
Sudut dalaman nampaknya lebih segar berbanding usia sebenar. Bermula dengan salinan lengkap komponen milik Civic EK9 99 Spec, ini diikuti penggunaan meter utama Spoon, stereng Momo Spoon, tuas gear K-Tuned, serta sepasang kerusi bakul Spoon Kevlar. Rangkaian gajet tambahan pula dimeriahkan dengan deretan meter Defi, serta unit RSM dan VAFC Apexi.
Bukan kuasa yang ditagih, tapi lebih kepada kepuasan diri. Memandangkan trend harganya yang tidak berubah, peningkatan yang telah dibuat mungkin boleh dilihat sebagai pelaburan yang bijak.