Community Arena Motorsports telah memilih Pulau Pinang sebagai lokasi acara Gathering Arena untuk tahun ini. Berlangsung pada 7-9 September yang lalu, acara kali ke 4 ini berjaya menghimpunkan 25 buah Proton Arena sama ada yang telah diubahsuai ataupun masih berkeadaan asal.
Para peserta bergerak dari lokasi masing-masing menuju destinasi yang telah ditetapkan. Keesokan harinya mereka berkumpul di perkarangan Stadium Batu Kawan untuk sesi bergambar, sebelum bergerak ke Batu Feringgi secara konvoi melalui Jambatan Kedua. Kesemua yang terlibat seterusnya dihidangkan dengan jamuan makan dan BBQ di lokasi penginapan pada sebelah malam.
Menjelang hari terakhir, para peserta dibawa melawat ke tempat-tempat menarik sekitar Pulau Pinang. Mereka kemudian menggunakan perkhidmatan feri ke Butterworth, sebelum pulang ke destinasi masing-masing. Selaku tuan rumah, terima kasih diucapkan kepada Abang Zaki, Brother Chik, Brother Bob, juga ahli-ahli di Pulau Pinang yang banyak membantu melancarkan acara ini.
Walaupun bergerak dalam kumpulan yang kecil, kelibat ahli-ahli Community Arena Motorsports sentiasa mencuri perhatian khususnya di kalangan mereka yang meminati. Kepada pemilik dan peminat Proton Arena, anda boleh sertai mereka di Facebook: Proton Arena Owner.
Laporan Asal: Apul Arena /Foto: Encik Bob