Walaupun Proton Perdana berat untuk dibuat sebagai kereta yang dipandu setiap hari, bagi sesetengah orang yang mementingkan saiz, ia adalah kereta yang ideal.
Asalkan pilihan enjinnya tepat, Perdana adalah model Proton yang lebih bernilai untuk wang kalau dibandingkan dengan kereta-kereta Proton lain.
Enjin yang tepat maksudnya, enjin yang berkuasa, tidak berat dan tidak banyak piston. Sudah tentu 4G63 ialah enjin paling cocok untuk memulihkan Perdana yang selalu nak buat hal dengan kotak gear automatik yang tersengguk-sengguk dan suka-suka sahaja nak hilang gear.
Kalau nak lagi untung, jangan beli body yang mahal. Sebaliknya cari model Sei empat silinder. Lebih untung lagi, beli model dengan transmisi manual. Tak penat kerja dan banyak belanja nak cari pedal, konsol dan sebagainya.
Kereta ini milik Fitri dari Kepong, Kuala Lumpur. Kereta ini dibeli dalam bentuk model terpakai tahun 1997 yang harganya masih boleh dianggap sebagai murah. Daripada beli Proton Wira masuk enjin Evo yang kemudian susah nak daftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), ada baiknya beli Perdana yang memang sama sesaran enjinnya. Bahagian teknikal pun tak banyak tanya, malah mounting pun sama sahaja.
Enjin Evo 3 dipasang dengan turbin TD05H. Tidak perlu menggunakan pakai penapis udara dan biarkan sahaja mulut turbin itu ternganga. Kemudian paip ditukar dengan jenis stainless steel, radiator Greedy, injap blow-off Greedy, injektor 1050cc, surge tank, plug Iridium dan wastegate Tial yang dipateri pada ekstraktor asal kereta. Akhir sekali, ECU asal digantikan dengan jenis yang senang diprogram, pilihan Fitri ialah Microtech LT10S.
Ekzos dipadankan dengan paip bersaiz tiga inci dan peredam bunyi HKS SR. Apabila bunyi dah berperang, bersedialah untuk mengalihkan kuasa ke permukaan jalan.
Dilema sebuah Perdana ialah transmisi automatik yang lemau. Maka, penyelesaiannya ialah dengan menggunakan kotak gear manual. Kereta ini dipakaikan dengan kotak gear Evo yang dikunci pada roda belakang. Klacnya pula menggunakan produk Quarter Master twin plate. Mesti keras betul ni!
Sistem suspensinya pula mendapat khidmat daripada Gab jenis boleh laras tinggi rendah dan keras lembut. Setelah berkali-kali membuat talaan, Fitri mendapati pegas gegelung yang ideal untuk sebuah kereta laju, tetapi boleh dipandu setiap hari ialah yang memiliki keanjalan 8kg/mm di depan dan 6kg/mm di belakang. Setakat ini, semuanya bagus dan tidak ada rungutan.
Rim P1 Buddyclub kalau saiznya 15 inci tidak nampak istimewa sangat. Tetapi apabila saiznya melonjak kepada diameter 17 inci ke atas, memang boleh kenal sama ada ia original atau cap ayam.
Di Jepun, mereka gemar mengguna pakai rim jenis offset kecil bagi boleh menampakkan hub tengah terperosok ke dalam. Tidak seperti rim TE atau Type C yang mana spoke mengikut alur ukuran offset, batang-batang rim P1 tetap menegak, cuma dibezakan pada tengah hubnya sahaja.
Tayar yang digunakan pada Perdana ini ialah Achilles bersaiz 225/45 di setiap sudut. Syarikat pembuat tayar dari Indonesia itu memang cukup agresif. Jadi tidak hairanlah jika dalam masa beberapa tahun kebelakangan ini, namanya sudah lebih terkenal berbanding Sumitomo, GT Radial, Kumho atau Federal.
Bahagian dalaman kereta adalah tipikal pelumba jalanan atau lagi sedap bunyinya street racer. Meter Defi dengan link display itu wajib. Tempat duduknya daripada SSCUS yang meniru reka bentuk Recaro dan warna hitam memang padan dengan karektor kereta. Sistem audio nampaknya tidak ketinggalan dengan pemain Pioneer, selain semua pembesar suara dan amplifier berjenama Mohawk.
Bahagian luar sebuah Perdana tidak memerlukan bodykit yang merepek untuk jadikannya cantik. Lebih baik minimalis. Bonet depan kereta ini dipasangkan dengan vent Evo III, Sunroof dari Galant VRG dan skirting Waja yang lebih tebal dari Perdana. Akhir sekali spoiler Mirage, nampak cun pula duduknya di bonet Perdana ini.
SPESIFIKASI
- Model – Proton Perdana / 1997
- Enjin – 4G63 Evo III, stainless steel piping, adjustable cam pulley, greedy radiator, Greddy blow-off, walbro fulepump, surge tank, wastegate Tial, injektor 1050cc ECU Microtech LT10S.
- Kotak gear – Manual lima kelajuan, klac Quarter Master twin plate.
- Suspensi – GAB hi low soft hard, Depan 8K, Belakang 6K
- Brek – 4 pot GTO (hadapan), OEM (belakang)
- Rim – Buddyclub P1 Racing 17
- Tayar – Achilles 225/45/17
- Dalaman – Defi link display, seat SSCUS, knob Ralliart, stereng Momo Subaru, Pioneer player, speaker+amp Mohawk.
- Luaran – Hood vent depan Evo III, skirting Waja, spoiler belakang Mirage, sunroof VRG.
Sumber : Mekanika
Website :https://www.mekanika.com.my/
Facebook :https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram :https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube :https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ