Si Jakfer milik Fairus Roslan ni, bermula sebagai Civic EK3 yang biasa. Bagi menyerlahkan gaya penampilannya, bahagian luaran telah dipadankan dengan kit badan Civic EK9 beserta rangkaian komponen rekaan Spoon. Ada hood, cermin sisi dan spoiler, yang kesemuanya datang dengan kemasan gentian karbon.
Nak nampak lagi Spoon, keseluruhan ruang roda juga dihiasi komponen dari tuner yang sama. Rim mesti Spoon SW388, nut rim mesti Spoon, termasuk kit brek Spoon Twin Block untuk kuasa hentian. Pelengkap sudut ini adalah set tayar Yokohama Advan Neova bersaiz 195/55R-15, termasuk set suspensi boleh laras Buddy Club Racing Spec untuk mengubah karektor pengendalian.
Bahagian enjinnya tidak lagi pondan, selepas disarungkan dengan enjin kacuk B20B. Isi perut dalamnya juga telah dibina semula, menerusi penempatan piston Wiseco 84mm, conrod BC Racing, serta galas enjin King Bearing. Untuk kelancaran proses suapan, kepala silinder B18C GSR yang digunakan telah diberi kerja-kerja port & polish, termasuk penempatan set lengkap camshaft Skunk2 Pro2, dan cam pulley Toda. Seperti lazimnya, mana-mana komponen kurang perlu telah ditanggalkan, bagi menghasilkan ruang enjin lebih kemas dan bersih.
Proses penerimaan udara akan melalui paip ram kustom, terus ke mulut throttle body Super90 pada manifold kemasukan Edelbrock Victor X. Suapan bahan api pula dibantu pam petrol Walbro, sambil dipancit menggunakan set injektor 360cc. Untuk sistem nyalaan, unit distributor asal telah dimatikan dan diganti dengan koil individu K20A. Memastikan talaan lebih sempurna, sistem pengurusan enjin kini diserahkan kepada unit ECU Link G4.
Sistem transmisi sememangnya penting, untuk lonjakan kuasa barunya. Berbekalkan kotak gear S80, ia dikacuk bersama gear pacuan 4.2 sebelum diserap oleh set klac plet berkembar OS Giken. Akhir sekali binaan semula sistem ekzosnya secara kustom, sebelum dihubungkan kepada muffler perang dari J’s Racing.
Seperti luar, bahagian dalaman juga diinspirasikan dengan komponen rekaan Spoon. Taklah banyak mana, kecuali meter utama, roda stereng, serta bar casis pada ruang belakang. Selainnya masih menggunakan salinan komponen milik Civic EK9 seperti papan pemuka, panel pintu, dan sepasang tempat duduk Recaro SR3. Turut kelihatan tiga bijik meter tambahan Defi, yang digunakan untuk tujuan pemantuan.
Antara sedar atau tidak, kebanyakan Civic hatchback 2 pintu sudah mencecah usia lebih 20 tahun. Tapi soal harga dan popularitinya, masih berada pada kelas tersendiri. Bukan takat sini jer, geng JDM luar pun main lagi. Walaupun dah masuk abad baru, pelaburan modifikasi yang dilakukan masih berbaloi dan menguntungkan. Kalah bonus ASB…
SPESIFIKASI
- Pemilik – Fairus Roslan
- Pengeluar – Honda
- Model – Civic EK3
- Tahun – 1998
- Enjin asal – 1.6 SOHC
- Modifikasi Enjin – Blok B20B, piston Wiseco 84mm, conrod BC Racing, galas enjin King Bearing, kepala silinder B18C GSR, port & polish, set camshaft Skunk2 Pro2, cam pulley Toda, paip ram kustom, throttle body Super90, manifold kemasukan Edelbrock Victor X, pam petrol Walbro, injektor 360cc, regulator Sard, koil K20A, ECU Link G4, radiator aloi AVS
- Transmisi – Kotak gear S80, gear pacuan 4.2, set klac plet berkembar OS Giken
- Ekzos – Paip ekzos kustom, muffler J’s Racing
- Luaran – Kit badan Civic EK9, hood, cermin sisi & spoiler gentian karbon Spoon
- Suspensi – Buddy Club Racing Spec
- Brek – Kit brek Spoon Twin Block (depan)
- Rim & Tayar – Spoon SW388 15-inci & Yokohama Advan Neova 195/55R-15
- Dalaman – Meter utama, stereng & bar casis belakang Spoon, papan pemuka & panel pintu Civic EK9, tempat duduk Recaro SR3, meter Defi
- Bengkel – Jaa Speed