Pengembaraan Team Evo Malaysia ke Thailand bukanlah sesuatu yang luar biasa. Saban tahun, mereka sentiasa mengadakan program bersama bagi mengeratkan hubungan antara dua negara. Namun jelajah kali ini dilihat lebih istimewa, apabila mereka melakukan perjalanan beribu kilometer selama 36 jam tanpa henti, kecuali untuk makan, mandi, solat dan berehat seketika.
Mewakili Team Evo Malaysia, sembilan buah jentera dari Three Diamond Members telah melakukan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pattaya pada 14 Disember yang lalu. Bermula di pintu sempadan, mereka turut disertai rakan Team Evo Thailand yang menetap di Sadao. Sewaktu ingin memulakan perjalanan, salah sebuah jentera mengalami kebocoran gas penghawa dingin, disusuli kerosakan tali sawat pada sebuah lagi jentera ketika di Hua Hin.
Perjalanan bagaimanapun tetap diteruskan. Setibanya di Bangkok, mereka disambut Team Evo Bangkok yang sedia menunggu di sana. Kerosakan pada kedua-dua jentera segera dibaik pulih. Pada masa yang sama, Team Evo Malaysia telah bergerak ke setiap bengkel di Bangkok untuk menghantar surat jemputan acara Evo Day 2020. Antara bengkel yang dilawati termasuklah Rev Limit Evo Garage, Noi Saimai Evo Garage, Quater Tech Mitsubishi Evo, TNC Racing dan Bangmod Racing.
Keesokan harinya, konvoi bergerak pula ke Pattaya diiringi dua buah jentera dari Team Evo Bangkok. Mereka kemudian disambut rakan-rakan Team Evo Pattaya sebelum ke Masjid Toatillah dan villa penginapan. Kesempatan berada di sini digunakan sepenuhnya untuk berehat dan melawat ke tempat-tempat menarik sekitar Pattaya.
Hari ketiga di Pattaya, mereka singgah di Mitsubishi Pattaya sebelum bergerak semula ke Bangkok. Setibanya di Bangkok, mereka terus menuju ke Evo Shop Thailand dan disambut Team Evo Bangkok. Setelah selesai menghantar surat jemputan dan membaik pulih sebuah jentera yang mengalami kerosakan brek hadapan, mereka mula bergerak menuju Sadao sambil diringi Team Evo Thailand sehingga ke Petchanburi. Pengembaraan mereka tamat, sebaik tiba di pintu sempadan dengan selamat.