Tidak seperti kereta BMW model M yang lain, Z3 M Coupe ini bukanlah satu kereta yang cantik pernah dihasilkan tetapi apa yang mengejutkan, ia tetap menjadi salah satu model yang klasik dan ada pengikut tersendiri. Seperti Z3 M Coupe tahun 2002 yang sedang anda lihat ini, sudah pun mendapat bidaan sehingga $51,000, lebih mahal dari harga asalnya $45,935.00.
Disalut dengan warna Titanium Silver Metallic dan terdapat beberapa ciri menarik termasuk glass sunroof. Ia dilengkapi dengan rim 17-inci dengan tayar Michelin Pilot Sport 4S yang baru sahaja dipasangkan tahun lepas. Kereta ini dikuasakan oleh enjin S54 inline-six 3.2 liter dengan individual throttle body dan menghasilkan 315hp dan tork 340Nm. Dipadankan pula dengan transmisi manual lima kelajuan.
Walaupun bahagian interior tak dilengkapi dengan teknologi hari ini atau yang ada pada mana-mana model moden BMW, tetapi ia masih berfungsi dengan baik. Malah sangat sesuai untuk pemanduan berjarak dekat mahupun jauh. Selain itu, ia didatangkan dengan tempat duduk sport dengan kulit Nappa hitam, penghawa dingin, kawalan cruise dan sistem audio Harman/Kardon.