Penyedia penyelesaian tenaga bersih Gentari Sdn Bhd (Gentari), yang juga anak syarikat PETRONAS telah melancarkan Pengecas Awam 350kW pertama di Asia Tenggara yang beroperasi sepenuhnya untuk kenderaan elektrik (EV) di X Park Sunway Serene yang terletak di Zon Perindustrian Dagangan Bebas Sungai Way, Selangor.
Hab pengecasan EV itu yang dilancarkan oleh Gentari dengan kerjasama EV Connection Sdn Bhd (EVC), terdiri daripada satu pengecas super 350kW – pengecas awam terpantas di Asia Tenggara, serta dua pengecas pantas DC dan lima pengecas AC.
X Park turut menjadi hab pengecasan EV pertama di Malaysia yang dilesenkan oleh Suruhanjaya Tenaga (EC), yang menjamin keselamatan struktur dan operasi kemudahan itu bagi meningkatkan lagi tahap keyakinan terhadap ekosistem pengecasan EV di Malaysia. Hab pengecasan milik Gentari dan EVC yang sedang dibina di Resort Golf Bangi turut mendapat lesen daripada EC.
Ketua Pegawai Mobiliti Hijau Gentari, Shah Yang Razali berkata, “Hab pengecasan berkelajuan tinggi baharu milik Gentari di X Park Sunway Serene dijangka akan memberikan sumbangan besar ke arah menyokong ekosistem EV yang berdaya maju dengan meningkatkan lagi tahap keyakinan jarak pemanduan di kalangan pengguna EV dengan memberi tumpuan kepada pengalaman pengecasan di kawasan bandar. Sebagai sistem pengecasan pertama yang dilesenkan oleh EC, kami berasa amat berbesar hati kerana dapat menyokong usaha untuk menyeragamkan dan mentadbir sektor mobiliti hijau Malaysia yang sedang berkembang pesat, bagi meningkatkan lagi keyakinan pengguna. Gentari turut gembira kerana menjadi syarikat pertama yang menawarkan mekanisme penetapan harga bersamaan kilowatt-jam (kWj), yang membuktikan bahawa pasukan kami sememangnya sentiasa mengutamakan pelanggan dan pantas untuk bertindak.”
Pengarah Urusan EVC, Lee Yuen How menambah, “Kami berharap penyediaan pelbagai infrastruktur pengecasan pantas yang mampu milik dan mudah untuk diakses di X Park, Resort Golf Bangi dan hab-hab berlesen lain di seluruh negara pada masa hadapan dapat meningkatkan lagi kadar penggunaan EV di kalangan rakyat Malaysia. Lokasi di Sungai Way ini sememangnya sesuai kerana ia dapat memenuhi keperluan para pengguna EV yang tinggal di kawasan kediaman dan perniagaan di sekitar Petaling Jaya yang memerlukan kemudahan pengecasan yang boleh dipercayai dan mudah dengan masa pengecasan yang lebih singkat. X Park turut dilengkapi dengan pilihan F&B dan hiburan yang ditawarkan untuk kemudahan para pemandu semasa mengecas EV mereka.”