Pertama kali diperkenalkan pada empat tahun lalu sebagai sebuah kenderaan konsep, kini Volkswagen mendedahkan model siri pengeluaran ID. Buzz ini pada Mac lalu dan meninggalkan banyak persoalan. Dalam masa sama, Volkswagen turut mengeluarkan kajian rekaan bersandarkan ID.Buzz dan membayangkan sekiranya van elektrik penuh ini dimuatkan bahagian bed di belakangnya. Trak pikap dengan pengeluaran wasap sifar merupakan antara draft rekaan yang jarang dapat dilihat.
Buat masa ini, Volkswagen sedang meneroka pikap elektrik untuk pasaran US. Begitu juga jenama premium seperti Audi yang dilaporkan sedang meneroka konsep yang sama. Terbaharu, Volkswagen turut mengaku sedang membangunkan versi elektrik untuk Amarok terbaharu yang dilaporkan bakal tiba tidak lama lagi sekitar tahun 2023.
Berdasarkan Ford Ranger, Amarok tidak dibina untuk dipasarkan di US. Memandangkan Volkswagen menggunakan kerangka badan Ford, pengeluar jenama dari Jerman ini turut menggunakan powerplant Ford enjin turbo 2.3-liter, diesel 2.0-liter dan Power Stroke 3.0-liter.
Berbalik kepada ID. Buzz, terdapat empat varian yang sedang menunggu giliran. Jika di pasaran Eropah dan UK, kenderaan komersial ringan ini pada awalnya ditawarkan sebagai van panel dan van penumpang 5-tempat duduk. Kemudian, tiga model lagi dengan 6-tempat duduk akan didedahkan.
Sumber : Autoevolution