Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini melancarkan model utamanya, Arteon R-Line 4MOTION baharu secara dalam talian. Mendefinisikan kesenian sebuah kenderaan, Arteon baharu tampil menyerlah dengan gayaan menarik – rekaan hud “clamshell” tersendiri menurun ke arah gril krom dan hadir bersama garis lampu serta sepasang lampu utama LED dan corong pengambilan udara baharu. Pada bahagian belakang, kluster lampu LED memberi karekter kepada rekaan belakang Arteon yang bercerun. Penampilannya ditingkatkan lagi dengan gayaan R-Line yang kini dipasang dengan logo R yang baru.
Arteon merupakan sebuah fastback serba boleh kerana ia menawarkan fleksibiliti bagi memenuhi keperluan pemanduan yang berbeza. Inilah model Volkswagen yang membolehkan pemandu menikmati pemanduan sporty atau perjalanan jauh sama ada berseorangan atau bersama keluarga. Kontur badan menyembunyikan prestasinya yang mengagumkan. Jentera ini dijana oleh enjin 2.0L TSI turbo yang mampu menghasilkan kuasa 280PS dan tork 350Nm. Dipadankan dengan kotak gear direct shift klac berkembar basah DSG 7-kelajuan, fastback ini boleh memecut dari 0 hingga 100km/j dalam masa hanya 5.6 saat.
Ia menawarkan pengendalian luar biasa menerusi sistem pacuan semua roda 4MOTION yang menyalurkan kuasa ke roda belakang apabila perlu untuk memberi cengkaman dan kawalan lebih baik di atas jalan. Penggunaan bahan api pula adalah sekitar 7.4l/100 km. Ruang dalaman Arteon baharu yang luas nyata elegan dan sporty, lengkap bersama kemasan perak R-Line dan stereng baharu. Ciri untuk pemandu juga inovatif, intuitif dan boleh diubahsuai. Semua maklumat boleh diakses dengan mudah menerusi Digital Cockpit dan sistem infohibur Discover Pro yang kini menawarkan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Sistem audio premium Harman Kardon 700-watt menyempurnakan lagi ruang dalamannya yang mewah dengan 12 unit pembesar suara yang memberikan kualiti akustik terbaik.
Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter menyatakan rasa gembira di atas maklum balas yang diterima oleh Arteon sejak dilancarkan tahun lalu. “Arteon sememangnya sebuah kereta paling cantik dalam rangkaian model kami. Ia bukan sahaja kelihatan cantik, malah menawarkan prestasi mengagumkan dan binaan ruang dalaman yang elegan. Lebih menarik lagi, ia ditawarkan dengan pengecualian cukai. Saya yakin bahawa Arteon R-Line 4MOTION baharu akan menjadi model paling laris kerana ia benar-benar unik dan tiada yang sepertinya di pasaran sekarang.”
Tempahan Arteon baharu sudah boleh dibuat di eShowroom yang dibuka 24 jam dan boleh diakses bila-bila masa. Seorang wakil daripada pengedar akan menghubungi dan membuat temu janji yang selari dengan SOP kerajaan dan iniatif #SafeHands Volkswagen.
Maklumat lanjut, sila layari laman web: www.volkswagen.com.my