Honda Malaysia hari ini mengumumkan bahawa CR-V facelift mencatat peningkatan 180 peratus tempahan dalam tempoh sebulan, selepas dilancarkan secara rasmi pada November 2020. Jumlah tempahan juga melepasi jangkaan dengan lebih 1,700 unit sehingga kini. CR-V baharu dilancarkan dengan tiga varian yang telah dinaik taraf iaitu 2.0L 2WD, 1.5L TC-P 2WD dan 1.5L TC-P 4WD.
1.5L TC-P 2WD menjadi varian paling popular dalam kalangan pelanggan dengan 46 peratus. Menurut rekod tempahan, wilayah Tengah menyumbang kepada 45 peratus. CR-V juga menerima permintaan yang memberangsangkan dari wilayah Selatan dan Utara dengan 20 dan 19 peratus.
Dari segi pilihan warna pula, hijau metalik menjadi kegemaran ramai dengan 30 peratus pelanggan memilihnya. Sehingga kini, lebih 1,300 unit CR-V facelift sudah diserahkan kepada pelanggan di seuruh negara. Honda Malaysia memberi jaminan SUV tersebut akan diserahkan kepada pelanggan dalam masa terdekat.
“Menggabungkan pelbagai ciri premium pada harga bermula RM139,912 seunit, kami percaya CR-V ialah SUV yang ideal untuk pelanggan. Terutama keluarga dan profesional.
“Sekarang adalah masa paling sesuai untuk pelanggan membeli kenderaan Honda kerana pengecualian cukai yang diberikan oleh kerajaan,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Ekskutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama.
Sumber : Mekanika