Kereta Corolla LE mungkin ialah kereta yang paling versatil di dunia. Kereta terlaris di dunia itu bukan saja boleh digunakan untuk mengangkut keluarga, malah kenderaan berniaga di pasar malam, teksi sapu, bawa ke kebun, hantar anak mengaji dan tak lupa juga, kereta untuk berlumba.
Di Sabah, ibu negeri Toyota di Malaysia, kereta-kereta Corolla klasik masih banyak kelihatan di atas jalan raya. Saya rasa keadaan ini akan berterusan mungkin 20 tahun akan datang.
Tak dapat dinafikan, model-model lama Corolla sangat tahan lasak dan senang diselenggara. Model ini juga ditakdirkan lahir sezaman dengan pengenalan enjin 4AGE generasi pertama yang boleh dikatakan antara enjin berprestasi tinggi paling lasak di dunia.
Jadi, gabungan casis Corolla dan enjin ini ialah kombinasi yang terbaik untuk menghasilkan kereta lumba yang laju dan praktikal.
Corolla biru dari Sandakan, Sabah ini dimiliki oleh Lau yang menggunakan keretanya untuk tujuan perlumbaan di hujung minggu. Corolla keluaran tahun 1985 dibekalkan dengan enjin 4AGE yang berasal daripada Levin AE92.
Enjin ini mudah sahaja dimasukkan yang asalnya menggunakan enjin 2A 1.3 liter. Walaupun enjin baru ni dah berkuasa, tapi mana cukup kalau nak dijadikan kereta lumba.
Lau memasang kit turbo custom dengan turbin Garret AR60 menjadi teras kepada kit turbonya. Turbin jenis ball-bearing ini dipasang pada enjin menggunakan manifold ekzos jenis custom yang juga menempatkan sebuah wastegate jenis external daripada Turbosmart.
Melengkapkan kit turbo ialah intercooler front mount jenis custom dan paip-paip intercooler keluli tahan karat custom. Pada paip intercooler itu, Lau menempatkan sebuah injap blow-off HKS. Lau kemudian memilih sebuah surge tank GReddy yang memastikan bekalan petrol sentiasa sampai ke enjin pada apa jua keadaan.
Enjin ditala menggunakan ECU jenis stand alone Adaptronic. ECU ni jugak mampu meminimumkan penggunaan pendawaian enjin.
Kotak gear lima kelajuan manual yang disalin sekali bersama-sama half-cut dibantu oleh klac perlumbaan buatan D&D jenis dua plat. Sistem LSD mekanikal nyata membantu memastikan kereta boleh memecut lurus semasa perlumbaan drag.
Lau terpaksa menempah penyerap hentak yang dibina secara custom untuk Corolla LE ini. Hasilnya, kereta ni boleh dikawal dan memiliki ketinggian yang sempurna.
Sistem brek pula disalin daripada sistem brek Levin AE101 yang dipasang secara custom. Lau mengambil sistem brek yang penuh. Daripada bahagian pam, booster dan semua brek cakeranya. Lau kemudian menggunakan rim Volk Racing TE37 bersaiz 15×8 inci yang dibalut oleh tayar Nitto NT01 bersaiz 205/50/15.
Walaupun kereta ini dibekalkan dengan enjin yang power, namun Lau mahu tampil sederhana. Jadi, kereta ini cuma diganti dengan bampar depan Corolla AE90 dengan gril depan Corolla AE80 versi JDM. Sebelum cat biru metalik dilayangkan untuk membuatkannya nampak lebih menarik.
Bahagian dalaman kelihatan macam pesawat pejuang. Di atas papan pemuka standard tersusun meter-meter tambahan NRG, Pivot dan GReddy. Stereng asal Corolla LE diganti dengan stereng Nardi Torino yang dipasang pada bosskit NRG.
Inilah gaya orang Sabah buat modifikasi. Jarang sekali mengecewakan!
Sumber : Mekanika
Website :https://www.mekanika.com.my/
Facebook :https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram :https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube :https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ