Kelab SagaJB telah mengadakan hari keluarga bertempat di Rompin Beach Resort, Kuala Rompin. Disertai ahli-ahli sekitar Negeri Johor, ia bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan menyatukan para peminat Saga / Iswara yang berpaksikan kepada pengubahsuaian model Mitsubishi Lancer Fiore.
Perjalanan dimulakan dari daerah masing-masing, sebelum singgah di Masjid Mersing untuk menunaikan Solat Jumaat. Setelah selesai, mereka mula bergerak ke Kuala Rompin dan mendaftar di resort penginapan. Tiada aktiviti tetap dijalankan, kecuali solat berjemaah, majlis tahlil dan jamuan makan di sebelah malamnya.
Selepas bersarapan pagi pada hari kedua, telah diadakan acara sukaneka yang melibatkan semua ahli kelab, seperti lari dalam guni, permainan bola tampar, bola sepak pantai dan lain-lain. Mereka kemudian mengambil kesempatan untuk mandi-manda di kolam renang resort. Di sebelah petangnya, diadakan acara mini autoshow yang diadili oleh pihak resort, termasuk bersantai di Pantai Hiburan. Menjelang malam, mereka disajikan dengan hidangan makan malam dan BBQ yang menyelerakan.
Pada hari terakhir, ahli-ahli bebas melakukan aktiviti masing-masing. Mereka kemudian berkumpul pada jam 11.00 pagi untuk acara penyampaian hadiah. Program ini tamat sejurus selepas mereka mendaftar keluar.