Sebanyak 20 buah kereta Perdana milik ahli-ahli My@pc berjaya dihimpunkan sempena penganjuran Mega Raya yang dianjurkan oleh My@pc Kedah (Malaysia Perdana Owner Club). Bertempat di Padang Bola Kg. Bukit Raya Pendang, Kedah, acara ini diadakan bermula dari pukul 3 petang dan berlanjutan sehingga pukul 12 tengah malam dengan pelbagai aktiviti menarik.
Diadakan bertujuan untuk mengeratkan hubungan di antara para pencinta dan pengikut tegar dunia permotoran serta beramah mesra bersama masyarakat. Selain itu, Mega Raya ini juga dilihat sebagai usaha merapatkan lagi ikatan silaturahim dan mengukuhkan ukhwah di antara ahli-ahli My@pc. Bagi memeriahkan dan menyemarakkan lagi acara dan sambutan hari raya yang lepas, pihak penganjur telah berusaha menyediakan untuk semua golongan termasuk golongan kanak-kanak.
Antara aktiviti yang disediakan adalah seperti Sukaneka kanak-kanak ahli My@pc bersama masyarakat setempat yang berjaya mendapat sambutan baik. Seterusnya, acara diteruskan lagi dengan majlis makan malam bersama wakil rakyat dan masyarakat setempat. Selesai majlis makan malam, acara dimeriahkan dengan majlis penyampaian hadiah dan duit raya kepada anak-anak yatim. Sebelum menutup Mega Raya ini, sebuah Autoshow dan Audioshow khas telah diadakan yang turut disertai sahabat permotoran seperti PAKAU, Maxoc, Bride Team dan Gila Van Utara Club.