Sebagaimana yang dijangka, sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila hampir 300 buah Lancer Evolution pelbagai generasi telah mengambil bahagian sempena penganjuran Evo Day 2018 yang diadakan di Dataran Bandaraya Ipoh anjuran Three Diamond Club Of Malaysia (TDM).
Selain peserta dari seluruh pelusuk negara, acara kali ini lebih istimewa apabila disertai rakan-rakan dari Thailand yang berkonvoi dari pintu sempadan, termasuk kumpulan peserta dari Singapura, Brunei, Indonesia dan Laos. Bagi mengelak kesulitan luar jangka, sebahagian besar mereka memilih untuk tiba lebih awal sebelum menyertai acara ini keesokan harinya.
Para peserta mula memasuki tapak acara seawal jam 8.00 pagi. Kesemua kereta yang terlibat, kemudiannya disusun mengikut generasi keluaran. Selain peluang meninjau kereta yang mengambil bahagian, kesempatan berkumpul turut digunakan untuk bertemu rakan-rakan yang lain. Turut berlangsung sesi pendaftaran ahli, jualan produk dan cenderamata, serta ucapan aluan oleh wakil-wakil kelab.
Di sebelah petang diadakan beberapa aktiviti sampingan seperti pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, sukaneka dan pertandingan tarik tali. Ini diikuti dengan sesi penjurian untuk penganugerahan kereta terbaik, bunyi terbaik dan enjin terbaik. Selesai majlis penyampaian hadiah, kesemua peserta diminta berkumpul untuk sesi foto bersama. Kemuncak acara merupakan majlis makan malam yang diadakan di Hotel Kinta Riverfront.
Selaku penganjur, Three Diamond Club Of Malaysia ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak penaja, para peserta serta semua yang telah mengambil bahagian dalam acara ini. Semoga kemeriahan Evo Day 2018, menjadi kenangan manis buat semua yang terlibat.