Sebanyak 33 buah kenderaan dengan 175 orang ahli komuniti Ganurian Streamer dan keluarga masing-masing telah mengambil bahagian dalam acara konvoi santai ke Ipoh. Ia dianjurkan bertujuan untuk mengeratkan hubungan ukhuwah antara ahli.
Kumpulan konvoi diminta berkumpul di Kenyir Elephant Village untuk sesi taklimat yang dikendalikan oleh Saudara Nik Leng selaku Chief Marshal. Mereka mula bergerak pada jam 9.00 pagi, sebelum berhenti rehat di R&R Gua Musang. Semasa dalam perjalanan sebuah kereta mengalami masalah, namun berjaya diatasi peserta dan mekanik di kawasan berkenaan. Konvoi kemudian meneruskan perjalanan dan tiba dengan selamat di Hotel Seri Malaysia Ipoh.
Keesokan harinya, para peserta dibawa beriadah di taman tema Lost World of Tambun. Di sebelah malam pula diadakan jamuan makan malam dengan tema Keluarga Sedondon. Ia turut diserikan dengan kehadiran Deejay El dari Hot FM selaku pengacara, Cikgu Saiful mewakili Silver State Streamer, serta tetamu jemputan yang lain.
Majlis dimeriahkan lagi dengan beberapa acara sampingan seperti tayangan video penubuhan, ucapan aluan oleh Tok Ngulu Ku Lan, aktiviti permainan bersama keluarga, cabutan bertuah dan penyampaian hadiah. Anugerah khas telah diberikan kepada Saudara Suhirman, atas komitmen beliau kepada komuniti. Tidak ketinggalan pemilihan kereta Modified Terbaik yang dimenangi Saudara Zoolfadli serta Saudara Mat Asbul untuk kategori Standard Kilang Terbaik.
Penganjuran konvoi santai Ganurian Streamer 2018 ini meninggalkan kenangan manis buat semua yang terlibat.