Model ni sebenarnya dah jatuh tahap rare. Kalau ditanya bebudak wicet zaman sekarang, tentu Civic EF disebutnya. Jangan gelak dulu. Kaki kereta macam korang pun kadang-kadang terkucil jugak, memandangkan iras belakangnya yang hampir menyerupai model berkenaan. Dah lahir dari generasi dan segmen yang sama. Cuma tahap populariti yang membezakan antara keduanya.
Model generasi ke-3 ini diperkenalkan oleh Mitsubishi, bagi meneruskan legasi model Mirage dan Colt. Bermula pada tahun 1987, ia tidak diperkenalkan dalam bentuk hatchback semata (Cyborg / Swift / Fabio / XYVYX), tapi turut menampilkan versi sedan dan liftback. Jangan tak tahu, ketiga-tiga varian ini ada merayap di sini walaupun dalam jumlah yang kecil.
Ini kereta Sanny, antara Mirage terbaek yang boleh dijadikan contoh paparan. Ketika ditemui, kereta ini sebenarnya datang dengan pemanduan sebelah kiri. Memang hawau jugaklah bila nak motong. Tapi sebab minat punya pasal, Sanny nekad meminang kereta ini selepas yakin dengan potensinya untuk dimajukan.
Nak tukar diri sendiri jadi kidal macam susah. Jadi kereta ini telah dihantar bertapa di bengkel, untuk menukar posisi pemanduannya. Takpelah tak rare pun, janji selamat. Mujur lubang-lubang skrunya sama. Satu-satunya benda yang menunjukkan Mirage ini dulu adalah kidal ialah, kedudukan lengan wipernya yang masih lagi terbalik.
Salinan papan pemuka JDM, kini dihiasi beberapa komponen penting seperti stereng Momo Race, deretan meter Defi serta meter 3 beradik Mitsubishi khusus untuk model ini. Posisi pemanduan Sanny pulak, dipegang kemas tempat duduk Recaro SPG. Manakala penumpang sebelah, selesa dengan tempat duduk Recaro EVO III. Penambahan roll cage asal C53A, membantu mengukuhkan lagi casis di bahagian ini.
Benda pertama yang menarik perhatian adalah unit sunroof ‘super top’ pada bumbungnya. Bukan satu tapi dua dan ia boleh dicabut keluar secara manual. Satu lagi yang jarang kita tengok, sepasang wing fender yang diambil dari model Starion. Dulu ramai yang pakai, cuma sekarang jer kurang popular. Selari dengannya adalah hood fiber mengikut acuan Mirage Cup, termasuk visor hood dan pelindung lampu depan dari Mirage Australia.
Pakej luaran ini seterusnya membawa kepada rim sukan putih jenis Desmond Regamaster Evo berukuran 16-inci. Ia kemudian dibalut getah buatan Bridgestone dari saiz 205/50R-16. Tersembunyi di sebalik rim merupakan set brek milik EVO II, yang sudah memadai untuk menjinakkan Mirage ini. Pemasangan set suspensi GAB serta bar strut Kansai di ruang depan dan Cusco untuk belakang, membantu kereta ini berdiri mantap walaupun diasak di kawasan selekoh.
Berbanding varian lain, Mirage C53A diberi enjin 4G61T yang cukup ideal dengan saiznya. Tapi alang-alang nak tambah kuasa, ia telah digantikan dengan enjin 4G63T dari VR4. Lepas pakai tak lama mana, ia telah dirombak semula untuk dikacuk dengan komponen dari EVO. Antaranya penggunaan kepala silinder, manifold kemasukan, throttle body, rel bahan api dan injektor dari enjin EVO II, serta pendawaian dan ECU dari EVO III.
Pakej ini diteruskan dengan peningkatan di bahagian sistem pendesak, di mana turbo TD05H yang digunakan, digantung pada manifold tanduk kustom bersama wastegate dari Tial. Ia kemudian disejukkan oleh intercooler Blitz, lengkap bersama paip sambungan aloi dari Blitz. Lebihan tekanan yang tidak diperlukan, seterusnya dibawa keluar menerusi injap pelepas juga dari Blitz. Sementara penyampaian bahan api pulak diuruskan oleh pam petrol Walbro, sambil dibantu regulator Works Engineering bagi melaras semula kadar tekanannya.
Sistem transmisi dipadankan dengan kotak gear Eclipse, yang dikunci menjadi pacuan roda depan. Klac pulak Sanny pilih yang jenis sukan buatan Casper Racing. Sementara sistem ekzos, kini lebih lawas dengan paip kustom 3-inci beserta peredam bunyi dari HKS.
Apa lagi nak bagitau pasal kereta nih? Rupa ada, kuasa ada, dari kidal ke kanan pun sudah. Yang tinggal cuma kekalkan legasinya sampai bila-bila…