Selama beberapa tahun ini, Suzuki hilang dari radar industri pengeluaran kereta tempatan. Namun, jenama dari Jepun itu telah kembali dihidupkan oleh syarikat Naza Eastern Motor. Baru-baru ini, Naza Eastern telah berkongsi hantaran di Facebook sekaligus mengesahkan khabar angin tentang kemasukan Jimny ke pasaran Malaysia.
Walaupun hanya sekeping gambar dengan penerangan ringkas “The one and only… returns” di laman Facebook Suzuki Cars Malaysia, ia sudah cukup membuatkan para pengikut jenama ini teruja dan tidak sabar menunggu kehadirannya. Sebelum ini, ramai yang sudah mengetahui tentang kemunculan semula SUV kompak ini dan hanya menanti kesahihan serta tarikh yang tepat.
Bagi makluman, Jimny ini akan hadir dalam bentuk import sepenuhnya (CBU) seperti Swift Sport. Generasi terbaharu Jimny ini terlebih dahulu diperkenalkan di negara-negara jiran termasuk Thailand, Indonesia dan Singapura. Maka, ketibaannya di Malaysia memang sudah dijangka. Naza Eastern dijangka akan menawarkan Jimny dalam spesifikasi tinggi dengan enjin 1.5 liter dan kotak gear automatik empat kelajuan.
Sumber : Mekanika