Di Eropah, harga kereta generasi pertama untuk Volkswagen Golf adalah sekitar €500 hingga €1,000 (RM2,439.37 hingga RM4,878.73). Namun, kereta yang sedang anda lihat ini istimewa sedikit berbanding kereta seusianya. Percaya atau tidak, ia hanya digunakan sejauh 738 batu (1,188km) seperti yang dicatatkan pada odometer!
Sebagaimana yang dinyatakan menerusi SilverstoneAuctions, kereta ini diimport pada tahun 1980 oleh pemilik pertamanya yang sebenarnya sudah pun mempunyai model sama tetapi berwarna putih. Kisahnya, pemilik menyimpan kereta ini sebagai ganti untuk model putih dan akan mula menggunakannya sebaik sahaja yang putih rosak. Malangnya, model putih tersebut kekal elok sampai ke sudah dan membuatkan si hijau ini banyak mengisi masa di dalam garaj sahaja.
Menurut kata pemilik asalnya, kereta ini hanya pernah dipandu sebanyak dua kali; kali pertama semasa beliau bertemu dengan mekanik. Kali kedua pula, mendaftarkan kereta ini buat kali pertama pada tahun 1999! Seterusnya, VW Golf Mk1 ini dibeli oleh seorang penyimpan koleksi kereta-kereta yang tahu menghargai nilai kereta ini. Ia juga dikatakan pernah memasuki majalah kereta beberapa kali.
Memandangkan hanya beberapa km sahaja digunakan dan kekal cantik dengan semuanya masih dalam keadaan asal, Golf Mk1 ini pasti mempunyai bau haruman kedai yang selalu ada pada kereta baru. Anda rasa, macam mana? Setuju?
Sumber – carscoops