Sempena ketibaan Tahun Melawat Malaysia 2020 dan cuti persekolahan, pihak Forward Kedah dengan kerjasama Majlis Bandaraya Alor Setar akan menganjurkan satu himpunan kenderaan 4×4 dari seluruh Malaysia dan Thailand di Taman Jubli Emas, Suka Menanti Alor Setar Kedah pada 20 hingga 22hb Disember 2019.
Bertemakan ‘Penyatuan dalam kepelbagaian’ , program ini bakal menyaksikan lebih 1000 kenderaan 4×4 dari pelbagai model, jenis dan kategori bergabung untuk tujuan kebajikan dan semangat permotoran 4×4. Program yang dianjurkan dengan kerjasama kelab kembara lasak 4×4 dan ditaja oleh Monster Rims Malaysia ini berlangsung selama 3 hari dan berkisar kepada tiga teras utama; kebajikan, pertandingan dan riadah.
Tiga teras ini akan diisi dengan lima acara sampingan seperti charity drive, travel hunt, autoshow, urban trial challenge, autokhana, dan pelbagai aktiviti riadah lain yang menarik. Program kali ini akan turut dimeriahkan dengan kehadiran pelbagai kenderaan ‘rare’ dari negara jiran termasuk monster dan 4×4 klasik.
Program ini turut mendapat sokongan beberapa nama besar industri automotif Malaysia antaranya Toyo, Silverstone, Pertamina, Kinto, Radar, Monsta, Rymax, Ultra Racing juga Auto galeri yang akan mengambil bahagian serta membuka gerai jualan dan perkhidmatan. Beberapa jenama produk dan perkhidmatan after market seperti pemasangan audio, pemasangan rim, dan aksesori kereta yang lain turut berada sepanjang karnival berlangsung.
Menurut Dato Hj Mohd Zohdi,Dato Bandar Alor Setar, pihak Majlis Bandaraya sangat mengalu-alukan program seumpama ini kerana ia dapat memberi suntikan kepada ekonomi tempatan terutamanya penggiat industri pelancongan di Alor Setar. Menurut beliau lagi, program ini bertepatan dengan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2020 yang bakal disambut dengan meriah tidak lama lagi.
Pengerusi FORWARD KEDAH, En Khairil Hanafi berkata, selaku NGO yang memperjuangkan industri pelancongan di tanah besar Kedah, program ini bukan sahaja dapat mengumpul peminat-peminat kenderaan 4×4 dari seluruh negara tetapi ia juga bakal memberi impak ekonomi kepada pengusaha industri pelancongan di Bandaraya Alor Setar termasuk pengusaha hotel dan homestay.
Penyertaan dan maklumat lanjut mengenai pertandingan dan keseluruhan Karnival ini boleh didapati daripada laman media sosial rasmi Malaysia 4×4 Mega Jamboree 2019. Anda juga boleh hubungi 019 – 4951 285 untuk maklumat lanjut.
Disediakan oleh: FORWARD KEDAH