Memandangkan banyak taman tema terpaksa ditutup akibat pelaksanaan kuarantin atau perintah kawalan pergerakan, sebuah syarikat pereka rumah hantu di Jepun, Kawagarasetai tampil dengan idea kreatif.
Mereka yang teringin merasai keterujaan pergi ke rumah hantu di Jepun kini boleh melakukannya secara pandu lalu. Idea itu tercetus selepas pengusaha rumah hantu berdepan kekangan dan pembatalan acara akibat penularan wabak COVID-19.
Tempahan yang dibatalkan menyebabkan mereka kehilangan pelanggan sehingga 80 peratus. Jadi beberapa perubahan perlu dibuat mengikut kesesuaian situasi semasa.
Rumah hantu itu sebenarnya sebuah garaj yang telah diubah suai. Satu insiden ngeri dikatakan berlaku di dalam garaj berkenaan. Ada orang kata, jika anda parkir kereta di sana dan hon sebanyak tiga kali, sesuatu akan berlaku.
Beberapa mayat akan menyerang kereta anda. Selain efek lampu dan lakonan hantu, keadaan di dalam kereta jadi lebih menyeramkan apabila cerita serta bunyi dimainkan sepanjang pengunjung berada di sana.
“Pengunjung terperangkap di dalam kereta dan tidak boleh lari. Ini lebih menakutkan. Mereka boleh menjerit sekuat hati dan tidak perlu memakai pelitup muka. Bukan itu sahaja, kami juga dapat memastikan penjarakan sosial sentiasa dipatuhi,” kata jurucakap Kawagarasetai, Kenta Iwana.
Seorang pelakon yang membawa watak pembunuh bersiri dalam produksi rumah hantu itu memberitahu format tersebut mendapat maklum balas positif daripada pengunjung.
“Saya boleh mendekati pengunjung walaupun mereka berada di dalam kereta. Memang seronok dapat melihat reaksi mereka,” katanya.
Sumber : Mekanika
Website :https://www.mekanika.com.my/
Facebook :https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram :https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube :https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ