Kepada yang sering mengikuti perkembangan sukan trek khususnya siri Malaysia Speed Festival (MSF), anda pasti perasan kelibat jentera berpintu dua ni. Aksi lincah yang ditunjukkan, berjaya menghidupkan suasana perlumbaan. Langsung tak padan ngan kecik. Kalau yang depan tak minat nak bagi jalan, diorang siap suluh lampu tinggi suruh ke tepi. Apa kau ingat mamat tu saja-saja makan angin?
Watak utama dipegang dua remaja bangka iaitu Mycil Hafez dan Guns Garage. Diawal kemunculan, mereka menggunakan sebuah Kancil Mira untuk beraksi dalam kategori Special Kei dan Race Car 1800. Ketika hampir dipuncak, mereka terlibat dalam kemalangan apabila dihimpit sampai guling-guling. Nasib takde apa, cuma kereta jelah yang teruk. Tutup buku kejap.
Masuk 2018, pasangan ini mengambil keputusan untuk mencuba nasib dalam kategori Super 1500. Tidak seperti sebelumnya, mereka kini memilih sebuah Coure TR sebagai senjata utama. Napa kereta kecik jugak? Dah memang itu kepakaran diorang. Kalau suruh pakai VTEC, mau kelaut bana peginya. Hujah mereka bukan saiz jadi ukuran, janji ikut syarat dan peraturan.
Untuk kategori Super 1500, peraturan menetapkan yang jentera itu mesti menggunakan enjin NA bersesaran 1500cc. Tak kisah duduk mana pun, janji bukan turbo atau rotary. Bagi memastikan mereka mampu bersaing, ia telah dipadankan dengan enjin 3SZ-VE yang biasa digunakan pada Alza dan Myvi. Enjin supercar mesia je bang, itu pun ramai yang bimbang.
Memandangkan peraturan perlumbaan yang agak ketat, enjin ini dibiar standard tanpa kesan korek di mana-mana. Ia hanya diberi pam petrol Walbro, regulator Works Engineering dan koil nyalaan YRV, sebelum ditala menggunakan unit ECU Link Monsoon. Itu je? Dah kalau tak caya, meh sini cek pakai stetoskop.
Hantaran kuasa diserahkan kepada kotak gear manual LSD, dengan ratio gear tersendiri. Ia turut dibantu set klac dari OS Giken. Patut laju semacam. Dah kacuk bagai-bagai, lagi mau ngaku stok itu standard. Mengakhiri proses naik tarafnya adalah binaan sistem ekzos, yang direka menggunakan unit ekstraktor dan paip kustom sepenuhnya.
Resing-resing pun, gaya kena ada. Takkan Coure TR nak pakai bumper Kelisa. Selain mengekalkan kit badan asal, ia turut dipadankan dengan lip depan, skirt sisi dan fender kustom. Pakej turut melibatkan pemasangan livery Todak Racing, yang kini bertindak sebagai penaja utama mereka untuk tahun ini. Patut Aie Mins berselera benor nak amik gambor.
Tayar juga terkandung dalam senarai peraturan. Untuk kategori ini, hanya Hankook Ventus RS4 dari saiz 195/50R-15 yang dibenarkan, dan dibalut pada rim Enkei RPF1 berukuran 15-inci. Kuasa hentian menggunakan set brek Daihatsu YRV untuk depan, manakala belakang kekal dengan brek drum asal. Sistem suspensi pulak dibina secara kustom, yang memang tidak sesuai untuk ibu-ibu mengandung. Campur dengan axle belakang jenis torsion beam. Memang senang sangat nak tripod wikang bagai.
Mengikut peraturan perlumbaan, ruang kokpit perlu berupa sebuah kereta di bahagian depan. Maksudnya, komponen penting seperti dashboard, konsul gear dan panel pintu perlu berada di tempatnya. Kebenaran hanya diberikan untuk mengosongkan ruang belakang, tempat duduk penumpang, karpet dan alas bumbung bagi mengurangkan berat keseseluruhan.
Untuk tujuan keselamatan, bahagian ini diperkukuhkan dengan set rollcage pasang siap dari DSport. Lain-lain komponen yang terlibat termasuklah tempat duduk Bride dengan harness OMP, stereng Momo Commando, tuas gear K-Tuned, meter rpm Pivot, serta deretan meter tambahan Works Engineering untuk tujuan pemantauan.
Dengan catatan masa terpantas 2:42.1, jentera ini telah dinobatkan selaku juara kategori Super 1500, dalam perlumbaan MSF Enduro Merdeka Race 2018 dan MSF Enduro Cup 2018. Terbaru, mereka berjaya meraih tempat kedua kategori Super 1500, sewaktu menyertai pusingan pertama perlumbaan MSF Super Turismo 2019. Tahniah SuperTR. Harap boleh join ‘240 Club’ tak lama lagi…