Bila sebut nama Corolla, apa yang boleh kita bayangkan adalah sebuah kereta yang sangat tahan lasak. Generasi pertama siri E10 misalnya, masih boleh dilihat melata bebas ke sana-sini. Itu belum kira model-model generasi lain. Memang Toyota dulu-dulu dibuat cukup liat, sampai langsung tak kenal makna rosak.
Selepas berjaya dengan siri E100, Corolla telah digantikan dengan model generasi kelapan E110 yang lebih moden pada tahun 1995. Namun akibat persaingan hebat dari pengeluar kereta tempatan, nama Corolla mula tenggelam dan mengalami penyusutan jualan yang agak ketara. Sehinggalah Toyota memperkenalkan Vois pada tahun 2002, sekaligus meninggalkan Corolla bernama Altis berada dalam kelas tersendiri.
Tidak seperti Corolla E100, siri E110 sebenarnya datang dengan potongan badan yang agak lembut. Tak ramai yang minat, tu pasal payah nak jumpa yang betul-betul bikin. Kalau ada pun mesti macam kereta Mesol nih, yang lebih berorientasikan keperluan untuk seisi keluarga.
Untuk keluarga satu hal. Namun keinginan terhadap prestasi tetap menjadi keutamaan. Memandangkan enjin asal tak berapa nak feel, sesuatu yang lebih bertenaga amat Mesol perlukan sebagai ganti.
Sudah menjadi kebiasaan, enjin 4AGE Silvertop dan Blacktop akan menjadi pilihan paling popular untuk disumbatkan dalam kereta ini. Rega boleh dengor, sparepart pun bersepah. Tapi jika inginkan sesuatu yang lebih baru dan segar, enjin 2ZZ-GE dari Celica ZZT231 ini, mungkin antara pilihan yang boleh difikirkan.
Enjin ini mempunyai potensi besar untuk dimajukan. Selain Toyota, Lotus juga antara pengeluar yang telah menggunakan enjin ini untuk model Elise and Exige terdahulu. Walaupun kod enjin ini ada angka dua, ia sebenarnya hanya berkapasiti 1.8-liter. Angka tersebut cuma pengenalan kepada generasi enjin, yang kini menerima sistem injap pemasaan pintar VVTL-i hampir menyerupai teknologi VTEC Honda.
Buat masa ini, Mesol masih mengekalkan kemampuan enjin ini tanpa modifikasi berat. Yang dibikin cuma proses porting di bahagian kepala silinder, diikuti penggunaan pam minyak berprestasi dari Monkey Wrench. Sistem penyampaian bahan api juga telah dirombak semula menggunakan pam petrol AEM, regulator AEM dan rel bahan api Monkey Wrench. Alang-alang nak buang cut off dan membetulkan masa bukaan injap, sistem pengurusan enjin kini ditala sepenuhnya menggunakan unit ECU Adaptronic E440D. Patut ringan lain macam…
Pandangan luar sebenarnya agak kurang memberangsangkan. Macam takde apa jer, walaupun telah disarungkan dengan kit badan JDM dari model AE111 GT. Dah memang gitu rupanya, nak bikin acaner lagi. Kalau taruk sayap bagai, kang terbang pulak. Sebagai penyeri, ruang roda diisi rim SSR Type C beserta tayar Yokohama Advan Neova AD08 berukuran 195/55R-15. Memastikan ia mampu berhenti pada waktunya, sistem brek depan kini dilengkapi kaliper 4-pot dari Willwood.
Macam luar, bahagian dalam juga telah disalin dengan komponen JDM dari model AE111 GT. Yang mana bukan peminat tegar Corolla, mungkin tak perasan mana. Paling menarik, ruang meter utama yang kini menempatkan unit paparan digital Dash 2 dari Race Technology. Mana radio? Kata resing, mana ada masa nak dengor lagu….
SPESIFIKASI
- Pemilik – Mesol
- Pengeluar – Toyota
- Model – Corolla AE111
- Tahun – 2000
- Enjin asal – 4AFE
- Modifikasi Enjin – 2ZZ-GE Celica ZZT231, port & polish kepala silinder, pam minyak Monkey Wrench, pam petrol AEM, regulator AEM dan rel bahan api Monkey Wrench, ECU Adaptronic E440D, radiator aluminium D&D
- Transmisi – Kotak gear manual 6-kelajuan, klac Exedy Racing
- Ekzos – Kustom
- Luaran – Kit badan AE111 GT
- Suspensi – Kustom
- Brek – Kaliper 4-pot Willwood (depan)
- Rim & Tayar – SSR Type C 15-inci & Yokohama Advan Neova AD08 195/55R-15
- Dalaman – Salinan komponen AE111 GT, tombol gear TRD, paparan digital Dash 2 Race Technology
- Bengkel – –