Pembinaan replika bukan suatu perkara yang baharu dan tidak semua tahu menghargai usaha orang yang membinanya. Kalau ada sekalipun, replika watak ikonik dari filem Hollywood seperti Transformer. Namun, replika kereta jarang mendapat perhatian melainkan hasilnya benar-benar menakjubkan dan berjaya menjadi tumpuan.
Salah satu replika yang berjaya mencuri tumpuan merupakan sebuah replika Bugatti Chiron yang dihasilkan dari besi buruk yang boleh ditemui di Ban Hun Lek (Rumah Robot Besi) yang terletak di Thailand. Apa yang lebih menakjubkan, bukan hanya satu replika tetapi dua replika Bugatti Chiron!
Hasil kerja tangan warga Ban Hun Lek ini benar-benar memukau kerana menyalin Bugatti Chiron ini sama ada dari sudut eksterior mahupun interior. Cukup sempurna. Prestasinya memang tidak perlu dipersoalkan kerana ia bukan tentang penyalinan kuasa sebenar supercar Bugatti sebaliknya pembinaan replika ini yang tampil unik.
Menurut Chad dari CB Media, Bugatti Chiron ini akan dihantar ke sebuah garaj di Sweden. Selain Bugatti Chiron, ada banyak lagi replika kereta yang berjaya menyalin rupa bentuk kereta yang sebenar antaranya seperti Mercedes AMG. Ini benar-benar hasil kerja tangan yang berseni. Kalau ada anak-anak muda yang serius untuk membina replika dari besi buruk dan menjadi sebuah kereta, mungkin boleh usahakan sebuah muzium khas seperti yang ada di Ban Hun Lek ini.
Sumber : Autoevolution / CB Media