Baru-baru ini Toyota UK mendedahkan GR Yaris khas yang direka sebagai penghormatan kepada barisan petugas barisan hadapan yang berjuang sepanjang pandemik covid-19. Rekaan luaran untuk model ini adalah rekaan pelajar sekolah berusia 16 tahun Alice Goodlife sempena pertandingan “Design A Rally Car Livery”.
Rekaan pelajar remaja ini didedahkan di pusingan terakhir Kejohanan Rali Dunia (WRC) yang berlangsung di Monza, Itali. Perkara pertama yang menarik pandangan mata adalah bahagian hadapan yang dipakaikan pelitup muka yang disangkutkan ke kedua-dua cermin sisi. Di bahagian atap dan belakang kereta ini diwarnakan dengan warna pelangi. Manakala di bahagian sisi pula, menampilkan barisan petugas penting seperti jururawat, guru, buruh binaan, pekedai dan juga pegawai polis.
Bunga kebangsaan Wales iaitu bunga Daffodil turut digunakan sebagai sebahagian dari rekaan kereta ini. Menurut Alice Goodlife yang juga seorang pelajar di sekolah Ysgol Uwchradd di Plasmawr, beliau benar-benar terkilan apabila mengetahui Wales Rally GB telah dibatalkan dan disebabkan itu, beliau memasukkan bunga Daffodil dalam rekaannya.
Sumber : Carscoops