Subjek utama kali ini membawa kita mendekati projek Lancer EVO yang lain dari kebiasaan. Biasa CB tukar CE, atau CK tukar CP. Cedia CS jadi CT pun ada, tapi jangan benor boleh jumpa. Bila dah lama di pasaran, model yang dulunya premium macam Lancer GT pun ada yang berani kokak, untuk dijelmakan seperti Lancer EVO X sebenar!
Masa pemiliknya Fareez sibok dok hapdet gambar kereta ni ke sana ke mari, gua mati-mati ingatkan ia sebuah EVO X recond dari Jepon. Dah memang itu kerja dia, buat dono jelah. Sampai satu hari tu, hapdetnya bunyi macam nak jual. Bila tengok balik apa ditulis, rupanya bukan EVO X asli tapi sebuah Lancer dibikin. Tertipah gua dibuatnya…
Projek kereta ini dimulakan oleh Ramdzan selaku pemilik asal, sebelum dibela Fareez sebagai pemilik kedua. Mula-mula takat main bodykit jer. Masuk bumper, masuk fender, masuk itu, masuk ini. Tapi bikin macamana pun, penutup minyaknya tetap lagi bulat berbanding petak pada EVO X. Takleh jadi nih. Jika tampalan fiber menjadi pilihan pemilik lain, Ramzdan bagaimanapun membeli terus halfcut belakang EVO X sebagai pemudah cara untuk mengubah rupanya.
Kaedahnya sama macam Wira berbontot EVO. Jenis kopek kulit luar, sebelum ditampal dengan panel yang dipotong dari kereta donor. Nah, kan dah petak. Kesan akibat welding memang ada, tu pasal kena cari kedai ketuk yang mahir dan teliti. Pintu belakang yang kembang tu pun menggunakan komponen dari EVO X. Begitu juga dengan bumbung dan sunroof, yang disalinnya terus dari halfcut tadi.
Kedudukan kereta kelihatan cukup rendah, lepas dilaras menggunakan set suspensi GAB SS Series. Kuasa cengkaman pulak datang dari tayar Accelera bersaiz 265/35ZR-18 yang dibalut pada rim Enkei RPF1. Di sebalik rim tersebut tersemat kit brek Brembo EVO X, yang amat membantu ketika diperlukan.
Dah alang-alang menyeluk seluar tu, apa kata kalau enjinnya ditukar sekali. Ada dua pilihan yang boleh dibuat, sama ada menggunakan enjin asal EVO X atau yang lebih sederhana dipanggil Lancer RalliArt.
Kepada yang kurang maklum, Lancer RalliArt merupakan model perantaraan antara Lancer GT dan Lancer EVO X. Ia disasarkan kepada mereka yang inginkan sebuah kereta yang lebih praktikal untuk pemanduan harian, berbanding jentera berinspirasi rali seperti EVO X. Walaupun bentuknya mirip Lancer GT, ia dilengkapi facelift dan enjin yang hampir sama macam EVO X. Mungkin ramai tak perasan, sebab ia langsung tak pernah diperkenalkan di sini.
Sebaik diterima, segala benda yang ada pada halfcut tersebut telah disalin semula. Memandangkan ia ditala pada kadar lebih rendah, sedikit peningkatan telah dilakukan pada sistem pendesak yang menggunakan turbo TD05H EVO X berbanding TD04H pada model Lancer RalliArt. Senarai komponen lain yang sama membantu termasuklah unit intercooler EVO X, paip intercooler kustom, serta injap pelepas Tial. Pam petrol, injektor, manifold kemasukan, throttle body dan koil nyalaan juga diambil dari EVO X. Nampak kotak penapis udara tuh? Itu pun EVO X punya, sekaligus membolehkan unit bateri ditempatkan di ruang boot belakang sama macam EVO X. Pendek kata, memang sebijik EVO X jugak ler jadinya.
Berbanding EVO X, keseluruhan komponen pada lantai Lancer RalliArt juga lebih mirip kepada Lancer GT. Dah kata sama tu apa lagi. Kasi naik jelah kotak gear SST dengan sistem pacuan AWD. Bukan kena potong lantai, longkang pun dah ada. Segala titik untuk lubang skru pun dah ada siap-siap. Nah, kat situ dah nampak mengapa halfcut Lancer RalliArt yang perlu dipilih.
Sudut dalaman menggunakan papan pemuka dan stereng Lancer RalliArt sebagai komponen utama. Tempat duduk pulak bukan Recaro petak macam EVO X, tapi datang dengan tempat duduk fabrik yang biasa. Mujur ada tag RalliArt. Bagi memantau perjalanan enjin, disediakan deretan meter tambahan dari NRG serta unit pengawal boost GReddy Profec B.
Perkembangan modifikasi tempatan nampaknya semakin pantas dan maju. Kalau dulu hanya kereta kebanyakan yang menjadi sandaran, hari ini model-model berprestasi moden pun ada terlibat sama. Tinggal berani ngan tidak jelah…