Ketika BMW mengumumkan pengambilalihan dalam projek Mini dengan meletakkan produk ini di bawah bumbung mereka, ramai yang menjangkakan zaman popular Mini akan terus gemilang. Meskipun model moden VoIkswagen Beetle yang menjadi penanda aras Mini tidak begitu memberangsangkan, namun ramai yang masih positif bahawa Mini memiliki nilai estetiknya yang jauh tersendiri. Pada 2001, ketika kereta Mini dilahirkan semula, ia mendapat pujian meluas dari industri permotoran memperkatakan tentang kejayaan BMW yang mengekalkan rupabentuk asas sebuah Mini kebanggaan British.
Dimensi model Mini generasi baru ini telah berubah begitu ketara dengan reka bentuk yang telah dibesarkan dan dipanjangkan. Segala bentuk aspek kemewahan yang eksklusif dipadankan untuk menjadikannya sebuah kereta nostalgia yang eksotik. Model yang dihasilkan pada 2001 tersebut akhirnya ditamatkan pengeluarannya pada pertengahan 2006 dan digantikan dengan MK II bermula 2006 hingga kini.
Bagi kebanyakan pemerhati industri, tidak banyak yang boleh diperkatakan tentang model Mk II yang merupakan generasi kedua Mini BMW ini. Namun realitinya, model ini adalah binaan baru sepenuhnya. Platform baru dan enjin-enjin yang digantikan sepenuhnya berbanding Mk I. Kali ini, BMW menerima beberapa kritikan yang tidak memihak mereka. Model MK II tidak dilihat sebagai model baru sepenuhnya. Malah kebanyakan bukan peminat Mini, tidak dapat membezakan antara kedua generasi ini.
Mini yang diketengahkan kali ini merupakan versi MK II yang merupakan keluaran 2007. Berbeza dengan Mini yang biasanya dilihat dijalanraya kita, versi Mini ini ialah model edisi Cooper S. Jika mengikut susur galur sejarah Cooper S BMW Mini, ia juga merupakan model kedua bagi kelas high line yang didatangkan dengan enjin berkuasa tinggi. Jika sebelum ini (MK I) dipadankan dengan enjin 1.6 dengan induksi supercharger, kali ini BMW memadankan sistem turbo. Ya. Untuk enjin 1.6 liter.
Ini adalah sebuah kereta yang dibina berdasarkan pengalaman pertama BMW dalam menghasilkan kereta kecil. Ia telah menepati spesifikasi piawaian baru yang menjadikan badannya kini hampir 3 inci lebih panjang berbanding model sebelumnya. Lampu hadapannya juga kini kekal di bahagian badan, sementara model MK I melekat di bahagian hud.
Mengikut pemilik kereta ini, kereta ini dipilih kerana kepelbagaian faktor keselamatan dan faktor eksklusifnya. Beliau yang sebelum ini memiliki MK I Cooper S mengakui, prestasi dan pengendalian kereta ini adalah jauh lebih baik berbanding model sebelumnya. Malah menurut beliau juga, kereta ini hampir tidak perlu dilakukan apa-apa terhadap jantung hebatnya yang mampu menawarkan 211ps dalam keadaan asal. Bukan itu sahaja, binaan casis kereta ini sendiri yang membolehkan keseluruhan kuasa diekstrak dengan lebih berkesan.
Enjin ini menerima beberapa pengubahsuaian kecil. Antaranya ialah pengubahsuaian terhadap kotak pengambilan oksigennya yang diubahsuai dengan menempatkan penapis udara jenis terbuka dari K&N. Sistem ekzosnya pula dibuat secara tempahan khas, sebagai opsyen daripada versi sport aftermarket yang mana harga pasarannya boleh mencecah lima angka.
Sistem pengendalian kereta ini kemudiannya diubahsuai dengan penyeraphentak sport dengan pegas gegelung H&R dan bahagian penting roll bar telah digantikan dengan aloi chromoly dari Alta. Hasilnya menjadi sebuah kereta yang rendah dan lebih stabil. Kerendahan kereta ini juga telah disempurnakan oleh pasangan rim Speedline 17 inci dengan tayar Toyo Proxes T1R 215/45/17. Kemampuan sistem breknya pula telah ditingkattaraf dengan brek hadapan berkapasaiti 4 pot dari Stoptech dan brek 1 pot di belakang dari jenama yang sama.
Kemasan luaran kereta ini memang dapat dikenali menerusi bodykit asal John Cooper Works (JCW) tipikal dengan kerendahan dari lips dan skirting serta spoiler yang sporty. Begitupun, ia telah dilengkapkan dengan air scoop dari M7 dan lampu hadapan jenis smoked. Pemiliknya juga telah menghitamkan setiap bahagian krom yang asal.
Bahagian kabin kereta ini telah dibina mengikut gaya Mini klasik yang asal. Tidak banyak yang berubah berbanding model Mk I, namun tipikal ergonomiknya memang jelas ada di mana-mana. Setiap posisi suis kawalan telah menjamin kemudahan pemandu mengoperasinya dengan pantas. Hatta untuk pemandu yang baru sahaja mengendalikan kereta ini. Kereta ini juga telah menerima pembaharuan iaitu stereng balutan alacantara serta roda stereng JCW versi khas.
Walaupun kereta ini asalnya merupakan pasaran eksklusif, penghasilan semula versi JCW merupakan jawapan tepat kepada golongan elit yang inginkan prestasi dari sebuah imej tradisi yang klasik. Prestasi pula tidak dinilai dari kepantasannya semata-mata. Ia adalah gabungan teknologi, pengendalian, prestasi dan jenama. Akhirnya. Ia masih sebuah Mini dan BMW bukan?
Spesifikasi
Model
Mini Cooper S MK II (R56)
Enjin
1.6 turbo. Air filter K&N, ekzos full custom.
Suspensi dan brek
Sport absorber + H&R Spring.
Roda
Rim Speedline Corse 17 inci.
Tayar Toyo Proxes T1R
Dalaman
Stereng Alacantara, pemain audio dengan i-pod.
Luaran
Bodykit asal JCW, air scoop M7, smoked headlight.