Sime Darby Auto ConneXion (SDAC), pengedar tunggal untuk Ford di Malaysia, telah memenangi anugerah ‘Pick-up Truck of the Year’ untuk Ranger WildTrak generasi baharu di Anugerah Allianz DSF.my Vehicle of the Year (VOTY) 2023.
“Kami berbesar hati menerima pengiktirafan terbaharu daripada Allianz DSF.my Vehicle of the Year (VOTY) Awards 2023 ini. Ini anugerah ketiga yang dimenangi oleh Ranger WildTrak generasi baharu sejak pelancarannya tahun lepas, yang sememangnya mengesahkan kedudukannya sebagai pikap gaya hidup premium pilihan untuk kerja, keluarga, dan bersantai,” kata Turse Zuhair, Pengarah Urusan Sime Darby Auto ConneXion-Ford.
“Ford semenangnya memadatkan banyak ciri-ciri ke dalam Ranger WildTrak generasi baharu. Ia memberikan rasa dan pemanduan seperti SUV mewah dari segi keselesaan, teknologi, dan kehalusan, tetapi masih memenuhi semua keupayaan dan kepelbagaian yang diharapkan daripada seorang sahabat pikap yang boleh dipercayai,” tambahnya.
Direkabentuk semula dari asasnya, Ranger WildTrak generasi baharu kini kelihatan lebih kemas perinciannya sambil mengekalkan reka bentuk yang mantap dan berani serta dilengkapi dengan teknologi pintar. Bahagian kabin juga telah ditingkatkan untuk memberikan rasa dan kualiti seperti sedan yang lebih premium.
Ranger WildTrak generasi baharu didatangkan dengan teknologi intuitif terunggul dalam kelasnya, termasuk skrin sesentuh dengan paparan 12 inci dilengkapi sistem SYNC® 4A terkini daripada Ford dan kluster instrumen digital baharu. Ia juga dilengkapi dengan satu set ciri keselamatan terbaik dalam kelasnya, seperti Evasive Steer Assist pertama dalam segmennya, sistem Post-Collision Braking baharu, Adaptive Cruise Control dengan fungsi Stop-and-Go, Cross Traffic Alert dan Reverse Brake Assist.
Pencalonan untuk Allianz DSF.my VOTY Awards adalah berdasarkan model-model baharu yang dilancarkan di Malaysia di antara 1 Mei 2022 – 31 April 2023 (12 bulan yang lepas). Semua penilaian adalah bebas dan diundi sebelum pemenang dipilih.