Taurus baharu di Ford ini bakal dijual di negara-negara Timur Tengah dan merupakan versi penjenamaan semula Mondeo terbaharu yang boleh ditemui di pasaran China. Justeru, banyak persamaan yang dilihat kerana kedua-duanya menggunakan rekaan dan underpinning yang sama.
Di bahagian hadapan sedan terbaharu ini dapat dilihat sepasang lampu LED DRL (Daytime Running Light) yang tajam, dipasangkan benar-benar di bawah lampu utama sekali gus menonjolkan grille hitam. Bahagian belakang Taurus baharu ini juga tampil menarik dengan lampu LED begitu juga bar lampu LED. Lencana besar Taurus turut dilekatkan pada trunklid. Bamper belakang dengan warna silver, memukau!
Berganjak ke bahagian dalam, kabin Taurus ini kelihatan sangat selesa dan dihiasi dengan kluster instrumen digital seluas 8-inci bersama skrin infotainmen 13.2 inci. Kalau anda tidak boleh berenggang dengan pad atau apa-apa gajet elektronik, ada disediakan pengecas pad tanpa wayar. Selain itu, dua ton warna dashboard bersama stereng tiga jari.
Walaupun begitu, Ford masih belum mengeluarkan spesifikasi tepat untuk Taurus 2023 ini namun ia akan dijual secara eksklusif bersama enjin 4-silinder 2.0 liter EcoBoost dipasangkan bersama transmisi automatik 8-kelajuan.
Dikatakan versi Taurus sedia ada cukup popular dalam kalangan pengguna di negara-negara Timur Tengah dengan jualan sebanyak 527% di UAE. Begitu juga peningkatan di Saudi Arabia sebanyak 73%, 125% di Kuwait, 63% di Oman dan 42% di Bahrain. Bagi memastikan Taurus baharu ini sedia untuk dipasarkan di negara-negara Timur Tengah ini, Ford telah menjalankan ujian di negara-negara dengan keadaan cuaca yang mencabar.
Sumber : Carscoops