Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) selaku pengedar tunggal jenama Ford di Malaysia, baru-baru ini telah meraih anugerah Emas bagi “Trak Pikap Tahunan” melalui Ranger Wildtrak generasi baru bagi People’s & Editors’ Choice Awards 2022 anjuran Carlist.my.
Ini adalah kali ketiga berturut-turut sejak 2019 bahawa nama Ranger yang memenangi pelbagai anugerah telah menerima undian yang tertinggi daripada rakyat Malaysia dalam People’s Choice Awards.
“Kami berbangga dipilih sebagai trak pikap paling popular oleh rakyat Malaysia, yang menjurus kepada kemenangan anugerah Emas bagi tiga tahun berturut-turut. Sebagai sebuah kenderaan gaya hidup pelbagai guna yang diingini ramai, Ford Ranger WildTrak generasi baru terus menjadi trak pikap pilihan ramai pengguna di seluruh negara,” ujar Pengarah Urusan, Sime Darby Auto ConneXion-Ford, Turse Zuhair.
Sarat dengan kelengkapan canggih serta teknologi keselamatan termaju dalam kelasnya, termasuk paparan skrin sentuh 12-inci di tengah dengan sistem infotainmen SYNC® 4A, Ranger Wildtrak generasi baru tampil lebih menawan dan halus dan dalam masa yang sama mengekalkan penggayaan maskulin yang kental. Rekaan dalaman juga telah dirombak untuk memberikan suasana dan kualiti premium seperti sebuah sedan.
Pencalonan bagi People’s & Editors’ Choice Awards 2022 anjuran Carlist.my adalah daripada model baru yang dilancarkan dari 1 Jun 2021 sehingga 30 September 2022, melalui pilihan ramai setiap jenama dan berdasarkan data jualan serta kekerapan sebutan jenamanya sepanjang tahun.
Bagi People’s Choice Awards, pengguna diminta untuk mengundi tiga model kenderaan teratas bagi setiap kategori. Proses undian didokumentasikan dan dinilai oleh auditor dalaman Carlist untuk memastikan ketepatan data dan proses penilaian yang adil.