Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) telah melancarkan Program Waranti Lanjutan untuk beberapa model terpilih seperti Elantra AD/MD, LF Sonata, Tucson TL/LM, DM Santa Fe dan TQ Starex dengan waranti pengeluaran luput yang tidak lebih dari 8 tahun bermula dari tarikh pengeluaran dan dengan perbatuan di bawah 300,000km pada tahun kelima dari tarikh kereta dibeli.
Program yang baru dilancarkan ini menawarkan kelegaan kepada para pemilik dan pelanggan Hyundai yang menyimpan kereta lebih dari lima tahun selepas luput tarikh waranti pengeluaran. Waranti lanjutan ini berfungsi seperti waranti kereta baharu bergantung kepada pembaharuan tahunan dan hanya melindungi kereta dengan perbatuan tidak lebih dari 30,000km setahun.
“Lazimnya, program sebegini ditawarkan oleh jenama kereta mewah dan premium tetapi kami menawarkan program ini untuk kereta Hyundai kerana yakin dengan kualiti yang ada pada kereta keluaran kami dan dalam masa yang sama membantu pelanggan menyimpan kereta dengan tenang,” ujar Pengarah Urusan HSDM, En. Low Yuan Lung.
Dengan pembaharuan tahunan RM1,280, program ini menawarkan waranti lanjutan untuk internal dan komponen-komponen utama termasuk sistem transmisi dan juga komponen elektrik dalam enjin, motor dan juga bahagian-bahagian modular. Dalam waranti ini juga melindungi baikpulih dan alat-alat gantian. Had yang dilindungi adalah sebanyak RM10,000.
Setiap kenderaan yang berdaftar di bawah program ini harus mempunyai rekod servis yang baik dengan pusat servis sah Hyundai dan pemilik dikehendaki menghantar kereta ke pusat servis yang sah untuk servis rutin mengikut rekomendasi HSDM.
Ia juga diperkenalkan sebagai sebahagian janji syarikat untuk memberikan produk serta servis terbaik kepada para pelanggan. Buat masa ini, program hanya boleh didapati di semua cawangan Sime Darby Auto Hyundai (SDAH) tetapi akan diperluaskan hingga pusat servis sah di seluruh negara.
Sesiapa yang berminat atau mempunyai sebarang pertanyaan, sila hubungi Hyundai di talian 1300-13-2000 atau layari www.hyundai.com.my.