Dianggarkan lebih 1700 buah kenderaan telah menyertai acara yang menghimpunkan peminat kereta Myvi convert JDM ke Toyota Passo, Daihatsu Boon dan juga Sirion. Bertempat di Dewan D, Maeps yang terletak di Serdang, acara tahunan ini diadakan pada Sabtu bersamaan 17 September lalu yang bermula dari 8 pagi dan berakhir kira-kira pada pukul 8.00 malam.
Bagi makluman, kali terakhir acara ini diadakan adalah pada tahun 2019 di negeri Kelantan. Kehadiran keseluruhan untuk acara kali ini yang dianggarkan lebih kurang sebanyak 1700 buah kereta seperti dinyatakan awal tadi merupakan satu jumlah yang sangat baik. Sebanyak 175 buah kereta dari jumlah keseluruhan tersebut telah menyertai 41 kategori yang telah disediakan. Setiap kategori menyediakan hadiah kemenangan untuk tempat pertama, kedua dan juga ketiga.
Acara yang dirasmikan oleh YB Mahdzir Khalid memberi peluang dan ruang kepada para pemilik kereta mempamerkan kehebatan kereta masing-masing. Para pengunjung yang meluangkan masa berhujung minggu bersama keluarga ke acara ini juga dapat melihat dengan lebih dengan dekat kereta-kereta yang telah dimodifikasi cukup unik dan membawa gaya tersendiri.
Selain itu, acara turut diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik lain termasuk permainan Suppa Duppa untuk anak-anak dan juga cabutan bertuah. Bukan itu sahaja, beberapa gerai jualan turut disediakan termasuk jualan baju yang mana sebanyak RM5 dari setiap baju yang dijual akan diagihkan ke rumah anak yatim dan surau Setia Alam. Tahniah diucapkan kepada penganjur dan juga para peserta kerana berjaya menghidupkan kembali acara tahunan ini yang ternyata lebih meriah dari tahun sebelumnya.