Honda telah mengumumkan pembinaan bilik pameran maya untuk HR-V dan idea ini tercetus dari Honda UK yang menawarkan pelanggan agar dapat menikmati dan melihat kereta ini sebelum tiba ke wakil-wakil pengedar. Selain itu, demonstrasi maya persendirian turut disediakan di mana ianya perlu dijadualkan seperti pengalaman berurusan dengan wakil produk Honda satu-demi-satu atau secara bersemuka.
Bilik pameran maya ini juga membenarkan sesiapa sahaja untuk memasuki salah satu dari ketiga-tiga tema untuk memahami HR-V terbaharu ini. Sementara itu, demonstrasi maya mengambil masa selama 30-minit dengan panduan menonton HR-V dengan tindakbalas secara langsung kepada mana-mana soalan yang diajukan oleh pelanggan.
Sebagaimana yang dinyatakan awal tadi, bilik pameran ini mempunyai tiga tema di mana Honda telah menyediakan tiga persekitaran seperti suasana urban, suasana desa atau pendalaman dan juga dari sudut perspektif keluarga. Terdapat imej yang boleh dilihat secara 360-darjah yang turut disediakan bersama galeri imej dan juga video.
Namun begitu, Honda hanya menganjurkan demonstrasi maya HR-V ini untuk masa terhad iaitu dari 20 September sehingga 12 November. Idea ini cukup menarik jika ia melibatkan lebih banyak model lain keluaran Honda. Ia bukan sahaja penyelesaian terbaik ketika ‘lockdown’ malah memberi jaminan keselamatan khususnya kepada pelanggan yang masih was-was untuk mengunjungi mana-mana bilik pameran secara fizikal.
Walaupun bilik pameran dibuka secara maya, Honda tidak bercadang untuk menjual HR-V menerusi atas talian. Sebaliknya, hanya ingin memperkenalkan dan membiasakan para ‘penonton’ untuk melihat kereta ini dengan lebih dekat sebelum ia tiba di bilik pameran wakil-wakil pengedarnya. Pelanggan tetap perlu bertemu dengan wakil pengedar untuk memandu uji kereta yang diinginkan.
Sumber : Autoevolution