Pengeluar kenderaan elektrik (EV), Tesla sentiasa menawarkan pelbagai model mengikut kemampuan para pelanggan mereka. Terbaharu, Tesla Model S Plaid+ yang tertangguh baru-baru ini memiliki tanda AS$170,000 (RM697,833) sekali gus lebih tinggi berbanding jentera Audi RS e tron GT.
Ketika menjangkakan model tersebut adalah yang termahal, sebuah syarikat, Caviar Royal Gift telah kustom jentera terbabit dengan versi emas 24 karat dan dijual pada harga AS$299,999 (RM1.2 juta). Caviar sangat terkenal dengan hasil karya kustom peranti iPhone dalam kalangan orang ternama dan kaya.
Syarikat terbabit telah mereka bentuk berdasarkan Tesla Model S Plaid+ yang belum dilancarkan secara rasmi dan dianggap jentera produksi prestasi terbaik Tesla. Tesla Model S Plaid+ mampu memecut 0-100 km/j dalam tempoh 1.9 saat dengan kelajuan maksimum mencecah 200 km/j.
Menurut syarikat terbabit, Caviar menggambarkan rekaan terbabit sebagai kereta elektrik terbaik di dunia yang diubah menjadi barang mewah. Sentuhan kilauan hitam dan emas dipadankan pada jentera itu menyerlahkan lagi kemewahan Tesla Model S Plaid+.
“Para pereka Caviar ingin menampilkan kenderaan mewah berteknologi tinggi dengan dibaluti emas 999,” katanya.
Balutan emas pada bahagian gril radiator, sisi skirt, disc, cermin bahagian belakang dan bampar menggunakan teknik Double Electroplated.
Caviar menambah ruang dalaman juga akan mendapat sentuhan emas pada bahagian stereng dan skrin papan pemuka.
Jentera dikenali sebagai Model S Excellence 24K terbabit akan dihasilkan sebanyak 99 unit sahaja. –carbuzz.
Sumber : Mekanika