Mitsubishi sudah menghentikan produksi Lancer Evo di seluruh dunia. Itulah hakikat yang terpaksa diterima oleh semua peminatnya. Tapi sebelum pengeluarannya berakhir, Mitsubishi telah memberikan hadiah perpisahan yang sangat-sangat cantik dan gagah dan ia dinamakan Evo X ataupun Evo yang ke-10 okey.
Berbanding dengan Evo sebelum ini yang memang diasaskan daripada model abad terdahulu (bunyi macam kuno sangat la pulak), Evo X ini merupakan keluaran selepas millennium. Ia lebih moden, segar dan memang pernah digelarkan sebagai kereta untuk racer zaman siber.
Evo X yang dipaparkan di sini ialah milik Ajim yang merupakan seorang jurutera. Evo Keluaran tahun 2008 Evo X ini dibekalkan dengan enjin 4B11 Turbo dengan transmisi SST. Kini enjin asalnya telah digantikan dengan enjin baru dari jenis yang sama tetapi dengan usia yang lebih muda (2013). Kira dapat jantung orang muda la ni.
Enjin baru ini dikekalkan dalam keadaan standard dan modifikasi banyak bertumpu kepada komponen luaran. Ia menggunakan unit turbo TD05 dengan Map Manifold dan intercooler M7 Japan. Lebihan boost dikeluarkan oleh blow-off valve IPR manakala udara bersih ditapis menerusi penapis udara gentian karbon pod terbuka Blitz.
Bahagian intake manifold dan throttle body dikekalkan dalam keadaan standard cuma kini ia menggunakan fuel regulator Turbosmart. ECU pula adalah Tephra V1 remapped untuk peningkatan kuasa yang lebih baik.
Kotak gear masih kekal dalam keadaan standard tetapi ekzos Evo X ini menerima set lengkap Tomei Extreme T1 Catback yang selain berfungsi dengan lebih baik memberikan alunan yang sungguh memberangsangkan sewaktu dipecut. Bukan itu sahaja ia juga menjamin sedikit peningkatan pada kuasa maksima berbanding penggunaan sistem ekzos asal.
Untuk kestabilan yang lebih baik, Ajim memilih set suspensi Cusco Street S High Low Soft Hard Adjustable yang merupakan pilihan kaki modifikasi kelas bangsawan.
Kuasa henti disumbangkan oleh angkup Brembo 4-pot 355mm di depan dan angkup 2-pot 330mm di belakang. Evo X ini kelihatan cukup bergaya dengan rim Volk Racing CE28N 18 inci bersama-sama dengan tayar Hankook V12 Evo 255 40 18.
Selain dari prestasi kelebihan Evo X Ajim ini terletak pada bahagian penampilannya. Bahagian hadapan contohnya menggunakan bumper MR lengkap dengan headlamp washer dan lip RalliArt.
Bahagian sisi dihiasi dengan side skirt Evo 2012 manakala bahagian belakang diserikan dengan lampu belakang LED RalliArt. Bukan barang cap ayam okey. Malah side mirror juga turut dilengkapkan dengan blinker LED supaya lebih terang.
Menjengah pula kebahagian dalam, benda yang paling menarik perhatian dan rare semestinya ialah Meter Final Edition yang memang payah nak jumpa. Seluruh dunia cuma 5,000 unit je Evo Final Edition ni.
Aksesori wajib bagi sebuah jentera modified ialah meter-meter tambahan. Ajim memilih pillar meter 3 beradik dari Glowshift USA lengkap dengan paparan Aem Failsafe Wideband, meter boost Aem dan meter suhu ekzos Defi.
Meter tambahan lain pada dashboard ialah unit 3 beradik keluaran M7 Japan merangkumi Defi Water Temp, Defi Oil Temp dan Defi Oil Press. Sterengnya pula ialah Coltspeed CF dengan butang kawalan penuh.
Walaupun modifikasi Evo X ini agak ekstrim, tidak semestinya sistem audio diketepikan. Ajim memilih headunit android dengan sistem audio lengkap Rockford Fosgate 6.1 yang cukuplah sangat tu lagipun kereta dah laju nak bising bunyi audio buat apa lagi kan?
Akhirnya lahirlah sebuah Evo X dengan penampilan yang sangat bergaya dan berbeza daripada Evo X lain di luar sana. Nak bawak pergi kerja boleh nak pergi membeli belah pun boleh dengan bonet yang sama seperti kereta sedan lain. Hujung minggu boleh guna untuk layan trek ataupun sesi teh tarik madu bersama geng satu kepala.
SPESIFIKASI
- Pemilik – Ajim
- Pengeluar – Mitsubishi
- Model – Lancer Evolution X CZ4A
- Tahun – 2008
- Enjin asal – 4B11 SST Turbo 2008
- Enjin baru – 4B11 SST Turbo 2013
- Modifikasi Enjin – Turbo TD05 dengan Map Manifold, intercooler M7 Japan, blow-off valve IPR, penapis udara CF open pod Blitz, Turbosmart fuel regulator dan ECU Tephra v1 remapped.
- Transmisi – Kotak gear standard SST klac berganda 6-kelajuan.
- Ekzos – Set lengkap Tomei Extreme T1 Catback System.
- Luaran – Bumper depan MR dengan washer dan lip RalliArt, Bumper belakang dengan apron RalliArt, side skirt Evo 2012, lampu belakang LED RalliArt, kamera pandang belakang dan side mirror blinker LED.
- Suspensi – Cusco Street S High Low Soft Hard Adjustable.
- Brek – Angkup Brembo 4-pot 355mm depan dan 2-pot 330mm belakang.
- Rim & Tayar – CE28N 18-inci & Hankook V12 Evo 255/40R-18
- Dalaman – Meter Evo X Final Edition, Pillar meter 3 beradik Glowshift, Meter dashboard 3 beradik M7 Japan, set audio android lengkap Rockford Fosgate 6.1, stereng CF Coltspeed dengan butang penuh, lampu bezel RalliArt dan lampu kaki juga keluaran RalliArt.
- Bengkel – –