Pemilik jentera ini, Rizal ialah individu yang gemarkan kebebasan. Jadi mesin yang menterjemahkan kebebasannya ialah Mitsubishi Lancer Evolution VI.
Apa yang pasti, enjin Evo selalunya tak lama dibiarkan standard, mesti kena usik. Kebanyakan kerja modifikasi dilakukan secara bolt-on kerana bahagian dalaman enjin tidak perlu dimodifikasi pun.
Turbo TD06 tidak diusik, tetapi ditambah dengan wastegate dan injap blow-off Turbosmart. Intercooler diganti dengan intercooler saiz gergasi buatan ARC dan disambung ke turbo menggunakan paip keluli tahan karat custom.
Boost turbo dilaras pada 1.1 bar dan pam bahan api Walbro memastikan petrol sampai ke enjin walaupun boost dah tinggi. Selain itu, Rizal ada memasang sebuah pelaras bahan api daripada SARD untuk mengawal tekanan petrol.
Kepala silinder enjin pula dipasang dengan sepasang cam pulley boleh laras HKS. Sementara throttle body asal telah disumpah menjadi throttle body S90 yang lebih besar.
Oleh sebab enjin dah dibikin, memang bijaklah kalau sistem pengurusan enjin pun diubah suai. Modifikasinya minimum, guna GReddy e-Manage sahaja. Sebenarnya dah lebih daripada cukup untuk menala enjin ini dengan sempurna.
Rizal membekalkan satu set klac jenis perlumbaan jenama Ogura Racing pada kotak gear pacuan empat roda. Ia mungkin agak keras untuk ditekan, namun cukup berbaloi apabila digunakan.
Set ekzos diganti dengan paip tengah jenis saluran terus dengan sebuah peredam HKS. Kereta laju, bunyi mesti mau gempak kan? Selain enjin, perkara paling best pasal Evo pastilah pengendaliannya.
Walaupun bukan Mitsubishi yang mempelopori teknologi pacuan empat roda, tapi dengan model Evo, Mitsubishi menjadikannya bertambah sempurna pada setiap model Evo. Nak buat lagi best, tukar penyerap hentak Tein Type Flex, siap dengan pillow mount. Memang best. Tak caya tanya Rizal, sebab ini kereta dia.
Bermula dengan Evo V, Evo sampai sekarang menggunakan brek buatan Brembo. Tetapi ia kadang-kala memeningkan kepala pemilik sebab bukan semua rim boleh lepas pengangkup brek Brembo yang besar gajah tu.
Nasib baik sekarang ada jenama Rota, ori dan replika yang datang dengan rekaan offset kecil. Rekaannya juga boleh lepas brek Brembo. Rizal memanfaatkan peluang ini dengan menggantikan rim Enkei asal kepada rim Rota Grid bersaiz 18 inci. Tayar yang dipilih ialah satu set Yokohama bersaiz 235/40ZR18, memang terbaik dari ladang.
Dengan warna kelabu gelap yang nampak lain, Evo VI Rizal ada menggunakan aksesori JDM yang lain. Paling ketara ialah bonet gentian karbon yang lebih ringan berbanding bonet aluminium asal. Cermin sisi pun diganti dengan barang karbon jenama Ganador.
Mungkin ramai tak perasan ialah bampar depannya. Bampar depan apa yang tak ada spotlight, tapi ada lubang udara? Jawapannya, bampar Evo 6.5 Tommi Makinnen.
Pada bahagian dalam, ada juga barang Evo 6.5 yang digunakan. Misalnya, tempat duduk hadapan. Barang mahal woo… Barang lain yang diganti ialah tombol gear RalliArt. Atas papan pemuka dipasang dengan tiga meter terkenal daripada Defi yang memberi bacaan boost, suhu ekzos dan air. Akhir sekali, turbo timer (barang wajib) HKS.
Tak kisah la sama ada anda minat atau tidak, Evo ialah antara kereta performance yang terbaik di pasaran. Dengan jumlah pembuatan yang terhad, Evo pasti akan menjadi kereta klasik satu hari nanti.
Sumber : Mekanika
Website :https://www.mekanika.com.my/
Facebook :https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram :https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube :https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ