Saya ingat lagi zaman kegemilangan Mazda Familia pada awal 2000-an dulu. Memang meriah scene kereta Mazda masa tu, cukup ramai orang memilikinya, dari KL sampailah ke Kota Bahru, memang senang nak jumpa di atas jalan.
Tetapi entah macam mana, zaman sekarang agak susah sikit nak jumpa kereta Mazda macam ini. Geng-geng Mazda yang satu masa dulu cukup aktif pun dah senyap, hilang entah ke mana. Jadi agak teruja apabila saya diberi peluang menulis pasal Mazda Familia, rasa macam nampak kawan lama yang sudah 10 tahun tak jumpa.
Familia merah menyala ini milik Izwan yang berumur lebih kurang sama dengan saya. Jadi pola umur pemilik kereta macam ini mungkin sudah berganjak daripada orang baru habis kolej kepada orang yang dah berkeluarga dan berkerjaya. Tak kisah, janji masih ada orang suka nak main kereta ini.
Macam biasa, enjin asal kereta sudah diganti dengan enjin BP-T 1800cc turbo daripada half-cut Familia GTX atau lebih dikenali dengan nama manjanya B8 oleh orang kita. Tak susah pun nak masukkan enjin ini ke dalam Familia macam ni, kira macam plug & play sahaja.
Enjin ini ditambah injap blow-off GReddy bersama turbo standard yang digandingkan dengan wastegate jenis external Tial. Sistem induksi enjin mendapat manfaat daripada penapis udara jenis pod terbuka daripada A’PEXi.
Kabel palam pencucuh NGK menggantikan kabel asal. Untuk sistem penghantaran petrol, pam bahan api asal di dalam tangki petrol digantikan dengan pam bahan api berkuasa tinggi Walbro. Tekanan petrol pula dikawal oleh pelaras bahan api Tomei.
Eh! Lupa nak cerita. Intercooler asal enjin ini yang hanya sebesar kotak tisu diganti dengan intercooler besar gedabak daripada Evo III. Dah layan intercooler besar, maknanya paip intercooler asal semua telah diganti dengan paip intercooler buatan custom.
Turbin enjin melepaskan gas karbon monoksida melalui paip ekzos custom 2.5 inci dengan bullet dan peredam jenama A’PEXi. Disebabkan bunyi ekzosnya ganas sangat, ekzos ini dibekalkan dengan silencer cap yang mengurangkan sikit bunyi ekzos, terutama bila merempit di atas lebuh raya. Ekzos perang ni jalan dekat-dekat best la, cuba layan atas highway 400km, mau muntah hijau lepas tu.
Kotak gear asal Mazda GTX digunakan semula. Tetapi fungsi pacuan empat rodanya tidak digunakan. Klac Exedy jenis perlumbaan digunakan bagi menyalurkan kuasa daripada enjin ke kotak gear. Tak payah nak modifikasi lebih-lebih pada bahagian ini sebab enjin bukan power sampai 300bhp pun.
Tapi, elok juga jka pengendalian kereta dibantu dengan penyerap hentak yang lebih baik bagi mengelakkannya rasa membuai-buai di atas jalan. Kereta Jepun model lama memang tak sedap langsung pengendaliannya. Baik lagi Proton Waja. Jadi, kesemua penyerap hentak asal dipencenkan selama-lamanya dan diganti dengan penyerap hentak jenis boleh laras HWL.
Brek Mazda Familia GTX berjaya disalin dengan jayanya ke dalam kereta ini. Secara automatik, Mazda ini mendapat sistem brek cakera sepenuhnya berbanding brek cakera dan gelendong pada spesifikasi asal. Brek-brek ini diapit dengan pelapik brek Bendix Metal King bagi mendapat kuasa membrek yang lebih sempurna.
Memandangkan penyerap hentak HWL sudah dilaras pada setting yang rendah, satu set rim Rota CE28 17 inci digunakan untuk mengisi ruang kosong pada arca roda Familia ini. Tayar pilihan ialah Achiles bersaiz 215/45 untuk keempat-empat sudut.
Kalau dah nama modifikasi Mazda Familia, tak lengkap kalau bodykit tak diganti dengan bodykit JDM. Familia ini menggunakan bampar depan Familia GTR bersama-sama liang udara pada bonet depannya. Skirting sisi dan lips bampar belakang ialah rekaan custom.
Sementara spoiler pada bonet belakang itu ialah spoiler daripada Lancer Evo III. Lips depan yang warna hitam itu ialah rekaan custom yang memang nampak serasi dengan kereta ini.
Bahagian dalam, macam biasa papan pemuka diganti dengan papan pemuka asli Mazda GTX dan sterengnya pula daripada Nardi. Tempat duduknya ialah OEM Mazda GTX kecuali untuk pemandu yang menggunakan tempat duduk Recaro SR3. Aksesori turbo yang boleh dilihat ialah meter boost NRG dan turbo timer A’PEXi. Sebuah SAFC A’PEXi turut dipasang. Alat ini digunakan untuk menala enjin bagi mendapatkan nisbah udara dan bahan api yang sempurna.
Agak pelik Mazda zaman sekarang. Walaupun dengan konsep sporty zoom zoom, model sports saloon macam ini sudah tidak dihasilkan lagi. RX8 dah pencen, yang tinggal MX5. Mungkin Mazda3 MPS ialah model sports empat pintu yang paling hampir dengan semangat Familia GTX asal.
Sumber : Mekanika
Website :https://www.mekanika.com.my/
Facebook :https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram :https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube :https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ