Honda Malaysia telah melancarkan CR-V Black Edition, varian terbaharu untuk Sport Utility Vehicle (SUV) paling popular keluarannya. Ditawarkan secara eksklusif dalam 1.5L TC-P 2WD dengan warna Crystal Black Pearl. Black Edition atau edisi warna hitam ini terus mengujakan pasaran khususnya dalam segmen SUV.
Penampilan CR-V Black Edition ini lebih menyerlah yang digabungkan dengan Next Generation Advanced Safety Technology serta beberapa ciri premium lain. Ditawarkan pada harga RM161,913.99, pengenalan CR-V Black Edition sekaligus mengembangkan lagi barisan yang mengungguli segmen SUV serta menambah pilihan terbaharu dalam tiga varian sedia ada iaitu 2.0L 2WD, 1.5L TC-P 2WD dan 1.5L TC-P 4WD.
Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, cik Madoka Chujo berkata, CR-V merupakan model CKD pertama di Honda Malaysia sejak 2003 dan menerima sambutan konsisten dari pasaran dan peminat Malaysia dengan 108,000 unit terjual sehingga hari ini. Generasi kelima CR-V, yang dilancarkan pada tahun 2017 telah mengekalkan momentum jualan yang positif dengan sumbangan lebih 43,000 unit terjual dari keseluruhan model itu.
CR-V terus mengatasi jangkaan yang telah ditetapkan dengan jualan yang menggalakkan dan mendominasi segmen SUV Bukan-Nasional yang mencatatkan sebanyak 24% syer pasaran pada bulan Ogos 2021. Populariti CR-V membuktikan rekaannya yang menarik, interior elegan dan prestasi pemanduan yang cemerlang.
Selain itu, CR-V tidak pernah gagal memikat pasaran dengan ciri-ciri inovatif dan ia merupakan model pertama yang memperkenalkan Next Generation Advanced Safety Technology – Honda SENSING. Memandangkan penerimaan pasaran cukup baik, Honda memperkenalkan pula CR-V Black Edition untuk memberikan lebih banyak pilihan kepada para pelanggan yang mahukan SUV dengan pakej penuh seperti ruang yang lebih luas, selesa, selamat, prestasi cemerlang dan nilai estetik yang lebih hebat lagi.
Sebagaimana yang dapat dilihan, CR-V Black Edition menampilkan kemasan warna hitam dan membaluti seluruh model ini dengan gaya dan keyakinan. Tampil lebih agresif dengan gril hadapan berwarna hitam dengan headlight LED khas Honda dan bampar belakang baharu berwarna hitam. Bukan itu sahaja, eksterior juga turut dikemaskini dengan rim aloi 18” berwarna hitam piano yang menyempurnakan warna hitam pada badan model SUV ini.
Ton warna hitam di bahagian eksterior ini dipanjangkan ke bahagian interior kereta, dimulakan dengan stereng, TFT berukuran 7”, meter dan penghawa dingin juga dengan kemasan hitam piano. Menguatkan lagi penampilan elegan ini adalah konsol tengah, dashboard dan door trim yang dikenakan dengan kemasan kayu hitam. Tema serba hitam ini dipanjangkan lagi ke tempat duduk di mana tempat duduk bahagian hadapan dihiasi dengan sulaman “Black Edition”.
CR-V generasi kelima ini dikuasakan oleh enjin 1.5L VTEC Turbocharged yang menghasilkan kuasa output 193PS dan tork maksima 243Nm. Lebih berkuasa dari enjin 2.4L untuk memberikan pemanduan yang lebih mengujakan dan dalam masa yang sama mengekalkan kecekapan bahan bakar.
Selain itu, ia juga dilengkapi dengan ciri-ciri terkini lain seperti Remote Engine Start yang membolehkan pemilik menghidupkan enjin dengan menekan butang pada kunci pintar dan menghidupkan penghawa dingin sebelum memasuki kereta. Sebagai sebuah SUV yang dikenali dengan kargo yang cukup luas, CR-V boleh menjadi pengangkutan yang sangat bagus untuk mengangkut barang-barang. Pelanggan juga pasti menikmati sepenuhnya kemudahan ini terutamanya ketika mengisi kargo dengan Hands-Free Power Tailgate. Ia diaktifkan dengan menggunakan pergerakan kaki di bahagian sensor yang ada di bahagian belakang bampar. CR-V ini juga dilengkapi dengan beberapa ciri keselamatan lain termasuk Honda SENSING bersama 8 ciri keselamatan lain, yang ditambah dari standard sedia ada.
Untuk maklumat lanjut atau ingin memandu uji, kunjungi pengedar Honda di seluruh negara atau hubungi 1-800-88-2020 atau layari laman web www.honda.com.my