Honda Malaysia memperkenalkan pilihan warna baharu untuk model-model paling laris keluarannya iaitu City dan juga Accord bagi memberikan lebih banyak pilihan warna yang lebih menarik khususnya kepada pelanggan setia Honda. Kedua-dua model ini menawarkan warna Meteoroid Gray Metallic yang menggantikan warna sedia ada iaitu Modern Steel Metallic. Selain itu, City juga akan menerima warna pilihan yang segar iaitu Ignite Red Metallic sekali gus menggantikan warna Passion Red Pearl.
Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, cik Madoka Chujo berkata, warna Ignite Red Metallic dan Meteoroid Gray Metallic diperkenalkan untuk model All-New City Hatchback buat pertama kalinya. Kedua-dua warna ini menerima sambutan yang sangat menggalakkan di pasaran. Oleh demikian, pihak Honda menambah pula pilihan warna ini untuk All-New Civic.
Bagi menambahkan lagi kemeriahan di pasaran, Honda Malaysia turut menawarkan warna pilihan baharu ini kepada model City dan juga Accord. Warna-warna baharu ini secara tidak langsung menambahkan seri dan gaya kepada City dan meningkatkan lagi penampilan Accord. Honda Malaysia juga akan terus menambah baik produk yang dikeluarkan agar dapat memenuhi keseronokan para pelanggan membeli kereta-kereta keluaran syarikat ini.
Sebagaimana yang diketahui, City generasi kelima ini berjaya menambat hati para peminat kereta di Malaysia menerusi pakejnya secara keseluruhan, rekaan yang sporty, teknologi terkini dan juga prestasi yang tiada tandingan. Setakat ini, lebih 32,500 unit City telah terjual dan berada di atas jalan raya Malaysia sejak dilancarkan serta menjadi model paling laris sepanjang bulan Januari dan Februari yang lalu.