Mungkin ia bukan waktu yang sesuai untuk melabur sesuatu berkaitan kereta, melainkan ia benar-benar mempunyai daya tarikan yang cukup menarik dan berbaloi. Namun begitu, ada beberapa kereta yang dimodifikasi atau dijaga cukup elok berjaya mencuri perhatian seperti BMW E38 7-Series ini. Apa yang istimewa dengan kereta ini? Mungkin tidak menarik perhatian anda tetapi ia telah disimpan dan dijaga elok-elok dalam sebuah bubble bag yang besar selama lebih 23 tahun!
Selepas dijual pada tahun 1997, kereta ini dilepaskan untuk tuan yang baharu pula. Dilelong sekitar bulan Mac lalu, ia berjaya mencatatkan bidaan pertama sebanyak RM4,413.70 dan diikuti nilai bidaan lain sehingga RM211,246.87. Persoalannya, kenapa ada yang sanggup mengeluarkan sebanyak itu untuk sebuah kereta yang dah berusia 23 tahun?
Tidak dinafikan kereta 7-Series ini memang mempunyai kualiti yang cukup baik dan mungkin juga ada di antara anda yang mendambakannya. Cuma, adakah berbaloi untuk membeli kereta lama dengan harga hampir setengah juta?
Baiklah. Kereta ini didaftarkan pada tahun 1997 oleh pemilik pertamanya. Seorang wanita yang lahir pada tahun 1927. Apa yang terjadi selepas itu, tidaklah diketahui tetapi ia telah mengembara ke Poland dengan perjalanan sejauh 255km (158 batu). Kemudian, ia disimpan dalam kapsul yang lengkap dengan peredaran udara mekanikal dan disimpan sehinggalah baru-baru ini. Berkemungkinan, ia masih lagi ada berbau kedai!
Dikuasakan oleh enjin V8 4.4-liter, ia membawakan 286 PS (282 HP / 210 kW) dan tork 420 Nm (310 lb-ft), disambungkan kepada transmisi automatik 5-kelajuan. Keadaan kereta ini masih lagi elok dan ia dapat dilihat dengan jelas menerusi gambar yang disertakan. Lebih menarik, kereta ini tidak pernah terlibat dalam mana-mana kemalangan. Hmm, macam mana nak kemalangan kalau dah disimpan dalam kapsul, kan?
Sumber : Carscoops