Dilancarkan pada tahun 2012 semasa berlangsungnya Paris Motor Show, kurang dari 100 unit SLS AMG Electric Drive pernah dihasilkan oleh Mercedes-Benz dan salah satunya adalah kereta ini. Seperti Audi R8 e-tron, SLS AMG Electric Drive ini memasuki pasaran sebelum bermulanya kegilaan terhadap kenderaan elektrik. Harganya juga sangat mahal, jadi tidak hairanlah hanya sedikit sahaja yang pernah dihasilkan.
Seperti yang dapat dilihat, kereta ini boleh ditemui di Switzerland dan mencatatkan hanya 3,800 km pada odometernya. Kereta ini dikuasakan oleh 4 motor elektrik yang digabungkan untuk menghasilkan 740hp dan tork 738 lb-ft (1,000 Nm). Setiap satu motor boleh memutarkan sehingga 13,000 rpm dan beratnya hanya 45 kg.
Selain itu, ia turut dikuasakan oleh pek bateri ion litium 60 kWh yang membekalkan jarak perjalanan sejauh 250km. Bagaimana dengan harganya? Setakat hari ini, harga yang pernah ditawarkan untuk kereta ini bernilai €1,050,000 bersamaan RM5,982,990. Gila mahal!
Sumber : Carscoops