Ini model Civic yang tak reti-reti nak nampak tua. Dah 28 tahun kot, tapi masih elok bersaing dengan model generasi kini yang lebih moden. Kalau citer bab keselamatan memang kalah terok. Tapi kalau bab kelajuan, ia mampu mengejutkan pesaingnya dengan mudah.
Puncanya terletak pada kemampuan model ini, menerima nadi kuasa yang pelbagai. Nak masuk seketul boleh, nak rojak kacuk boleh, nak letak siput gantung pun boleh. Dengan berat keseluruhan tak sampai satu tan, yang asal turbo kilang pun segan nak tegur hujung simpang.
Misalnya kereta milik Sazali ini, yang dibina dengan enjin B20B sebagai asas. Seperti dijangka, ia turut datang dengan pakej prestasi yang sepatutnya. Ada piston 86mm Civic FD2R, conrod Eagle, serta galas enjin ACL Race. Ia kemudian dikacuk kepala silinder B16A, sebelum menerima set injap Ferrea, camshaft Skunk2 Pro 3, serta cam pulley Golden Eagle.
Proses penerimaan udara memang mengalan abes. Disumbatnya kon jalan terus ke mulut throttle body Super90 pada manifold kemasukan Edelbrock Victor X. Suapan bahan api dibantu pam petrol Walbro, sambil dipancit menggunakan set injektor 360cc. Untuk sistem nyalaan, unit distributor asal telah dimatikan dan diganti dengan koil individu K20. Memastikan talaan lebih sempurna, sistem pengurusan enjin kini diserahkan kepada unit ECU Link G4.
Bahagian luar didandan sehensem mungkin, dengan kaler creamy kupi sebagai asas. Masa belum jadi trend, nampak macam pelik. Bila dah ramai yang pakai, baru nampak mari. Untuk lebih mengancam, sebahagian komponen badan seperti hood, lip, cermin sisi dan spoiler, digantikan dengan produk gentian karbon dari Spoon Sports. Sementara fender, pintu, bumbung dan boot, dibalut dengan kain gentian karbon untuk kena dengan tema yang dibawa. Tidak ketinggalan penggunaan lampu projektor TYC di bahagian depan, serta lampu smoke albino untuk belakang.
Sesuai dengan rupanya, ruang roda diisi rim Volk Racing TE37 dengan padanan tayar yang berbeza. Depan pakai Yokohama Advan A050 bersaiz 205/50R-15, manakala belakang dililit Achilles ATR K-Sport dari saiz 165/50R-15. Memastikan sektor pengendalian lebih sempurna, keseluruhan sistem gantungan kini digantikan dengan set suspensi boleh laras dari Tein. Sementara kuasa hentian, menerima kit brek Spoon Twin Block di bahagian depan.
Berbanding luar, sudut dalaman masih mengekalkan ciri-ciri JDM kebanyakan. Agak kurang menyerlah di situ, mungkin masih lagi dalam perancangan. Selain salinan komponen Civic EG6 Spec 94, ia turut diserikan dengan beberapa komponen lain seperti bucket dan stereng dari Spoon Sports, meter utama Integra DC2, meter tambahan AEM dan Works Engineering, serta sekeping panel gentian karbon pada dashboard.
Tengok pada gaya, kereta ini tidak dibuat untuk menakluk litar. Ia lebih kepada ekspresi dan minat pemilik, untuk melahirkan sesuatu yang berbeza. Dah kata gitu, tunggu apa lagi. Jom kupi-kupi…
SPESIFIKASI
- Pemilik – Norsazali Norrashid
- Pengeluar – Honda
- Model – Civic EG3
- Tahun – 1995
- Enjin asal – D15B
- Modifikasi enjin – Blok B20B, piston 86mm Civic FD2R, conrod Eagle, galas enjin ACL Race, kepala silinder B16A, set injap Ferrea, camshaft Skunk2 Pro 3, cam pulley Golden Eagle, throttle body Super90, manifold kemasukan Edelbrock Victor X, pam petrol Walbro, injektor 360cc, rel bahan api Works Engineering, regulator Works Engineering, koil nyalaan K20, ECU Link G4, cagak enjin Hasport, tangki perangkap minyak Epman, radiator aloi Synergy
- Transmisi – Kotak gear Integra Type R, set klac plet berkembar OS Giken
- Ekzos – Buddy Club Spec II
- Luaran – Hood, lip, cermin sisi & spoiler gentian karbon Spoon Sports, fender, pintu, bumbung & boot gentian karbon, lampu depan projektor TYC, lampu belakang smoke albino
- Suspensi – Tein
- Brek – Spoon Twin Block (depan)
- Rim & Tayar – Volk Racing TE37 15-inci & Yokohama Advan A050 205/50R-15 (depan), Achilles ATR K-Sport 165/50R-15 (belakang)
- Dalaman – Salinan komponen Civic EG6 Spec 94, bucket & stereng Spoon Sports, meter utama Integra DC2, meter tambahan AEM & Works Engineering, panel dashboard gentian karbon
- Bengkel – Orange Belt Garage, 3A Project Lap, RMD Garage, Raybet Garage