Kenyataan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad berhubung status Perodua Axia Baharu. Daihatsu Co. Ltd telah mengeluarkan kenyataan media pada 28 April 2023 berhubung ‘ketidakaturan prosedur’ ujian membabitkan empat model termasuklah Perodua Axia Baharu.
Perodua ingin memberikan penjelasan berhubung kenyataan berkenaan, terutamanya berkaitan dengan Perodua Axia baharu.
Daihatsu Co.Ltd telah dilantik dan dipertanggungawabkan oleh Perodua untuk menjalankan ujian keselamatan bagi Perodua Axia Baharu di Jepun dan telah disaksikan oleh pihak berkuasa dan agensi yang relevan bagi tujuan penilaian pihak yang terbabit.
Sebaik sahaja kami menerima berita mengenai ‘ketidakaturan prosedur’ oleh Daihatsu, kami telah menghubungi pihak terbabit serta merta untuk mengenalpasti sama ada standard keselamatan Perodua Axia baharu turut terjejas atau sebaliknya.
Kami telah diberi jaminan bahawa pensijilan UN-R95 yang diberikan kepada Perodua Axia model baharu tetap sah dan diperakui walaupun Daihatsu membuat pendedahan sedemikian.
Ini bermakna, Perodua Axia Baharu adalah selamat untuk dipandu dan tiada panggilan semula akan dibuat oleh Perodua dan kami juga tidak akan menghentikan penghantaran kenderaan model baharu ini kepada pelanggan yang kami hargai.
Kami memohon maaf di atas segala kekeliruan yang berlaku kepada para pelanggan kami berhubung perkara ini dan kami memberi jaminan bahawa segala maklumat keselamatan dan spesifikasi semua model kenderaan Perodua adalah diperakui badan profesional.
Kami akan terus memantau situasi ini dan akan memaklumkan perkembangan terkini kepada orang ramai. Perodua sentiasa mengutamakan keselamatan dan keselesaan para pelanggan kami dan akan terus berbuat demikian sebagai sebahagian daripada amalan kami dalam menjangkaui setiap jangkaan.