SOCAR telah menjalinkan kerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan berkongsi maklumat yang dapat membantu menyelesaikan kes dalam usaha membantu polis mewujudkan masyarakat yang lebih selamat.
“Di SOCAR, kami amat berbesar hati kerana dapat membantu polis dengan berkongsi maklumat yang boleh membantu menyelesaikan kes jenayah dengan lebih cepat, sekali gus memastikan mangsa jenayah mendapat keadilan, dan membantu mewujudkan masyarakat yang lebih selamat dalam jangka panjang. Walaupun penggunaan teknologi dalam kehidupan harian kita kebanyakannya memberikan impak positif, namun teknologi berkenaan kadangkala telah disalahgunakan oleh mereka yang berniat jahat.”
“Sebagai sebuah platform mobiliti berteraskan teknologi yang bertanggungjawab, kami bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia bagi memastikan bahawa perkhidmatan kami digunakan secara bertanggungjawab, sekali gus membantu menjaga keselamatan rakyat Malaysia dan pada masa sama membolehkan mereka menikmati kebebasan dalam mobiliti,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SOCAR Mobility Asia, Leon Foong. Dari Julai 2020 hingga Mac 2021, maklumat daripada SOCAR telah membantu Polis Diraja Malaysia menyelesaikan 34 kes dengan jayanya.
“Pihak polis sentiasa menghargai sumbangan dan kerjasama daripada semua rakyat Malaysia, tidak kira sama ada daripada syarikat-syarikat atau individu, dalam berkongsi maklumat yang dapat membantu kami menyelesaikan kes jenayah dengan lebih cepat, sekali gus melindungi kesejahteraan rakyat dan memastikan bahawa tiada jenayah yang terlepas daripada hukuman.”
“Kami berharap agar mereka yang ingin melakukan jenayah akan membatalkan niat buruk mereka itu apabila menyedari bahawa tidak mudah untuk melepaskan diri daripada keadilan di Malaysia, terutama sekali dengan sokongan masyarakat dalam usaha polis.”
“Kami sentiasa menggalakkan dan mengalu-alukan maklumat daripada orang awam yang mungkin telah menyaksikan jenayah atau mengetahui tentang aktiviti jenayah dan sentiasa akan melindungi identiti individu yang memberi maklumat,” kata Pengarah JSJ Bukit Aman, Timbalan Komisioner Datuk Dev Kumar MM Sree. Beliau berkongsi bahawa maklumat daripada orang awam telah banyak membantu menyelesaikan kes-kes jenayah selama ini, membuktikan betapa pentingnya peranan orang awam dalam mencegah jenayah.