Sesiapa yang menggemari dan sering mengikuti Youtube pasti sedia maklum, terdapat pelbagai channel modifikasi kereta dari macam-macam negara dengan content (bahan/kandungan) yang cukup menarik. Antaranya termasuk channel dari Rusia, Garage 54 yang sering menghasilkan video kereta yang menggegarkan warga net!
Terbaharu, mereka mengeluarkan video tentang dua buah Lada yang telah dikimpal bersama dan menjadi sebuah kereta. Bukan sahaja ia menjadi lebar berbanding sebuah Lada yang normal malah, ia juga memberi keseronokan pemanduan yang berganda.
Bagi mendapatkan badan Lada yang luas, mereka mulakan dengan memotong bahagian sisi kedua-dua belah kereta dan meletakkannya berdekatan antara satu sama lain. Kemudian, mereka menanggalkan tayar, brek, komponen suspensi dan kimpal kedua-dua kereta.
Apa yang menariknya, Garage 54 mengekalkan kedua-dua enjin dan stereng yang membolehkan kereta ini dipandu oleh dua orang pemandu. Yang penting, mereka perlu ada komunikasi semasa memandu. Kalau tidak, seorang ke barat, seorang ke timur dibuatnya!
Demi memastikan kereta tidak terbelah dua, kerja-kerja menguatkan casis turut dilakukan. Mungkin, ada yang berfikir kereta ini tidak boleh dipandu. Kalau itu yang difikirkan, anda salah. Kereta ini boleh dipandu dan berfungsi sepenuhnya. Mereka kemudiannya menguji kereta Lada ini dengan melakukan pelbagai ujian. Dahsyat!
Sumber : Carscoops / Garage 54