Setelah 61 tahun, akhirnya Aston Martin kembali ke arena Formula 1 dengan menggunakan kereta baharu AMR21 yang dinamakan sebagai Aston Martin Cognizant Formula One Team. Pasukan Aston Martin bakal membuat penampilan di pusingan pertama musim 2021 ini yang dijadualkan berlangsung di Bahrain tidak lama lagi. Bagi menghangatkan lagi berita gembira ini, Aston Martin ‘melantik’ gadis Bond Gemma Arterton untuk mengacarakan majlis pelancaran yang turut dihadiri oleh Daniel Craig yang juga pelakon utama filem James Bond.
AMR21 merupakan evolusi kepada Racing Point RP20 tahun lalu di mana pasukannya telah dijenamakan semula pada Januari tahun ini. Menurut pemilik Racing Point yang juga seorang usahawan Kanada, Lawrence Stroll, memiliki pasukan Formula 1 sendiri merupakan impiannya sejak awal lagi dan seterusnya, impian keduanya adalah untuk memegang saham di Aston Martin Lagonda. Beliau berbangga dan sangat gembira apabila kedua-dua impiannya menjadi kenyataan.
Bagi makluman, Lawrence Stroll juga adalah ayah kepada pemandu pasukan ini iaitu Lance Stroll yang dipasangkan bersama bekas juara F1, Sebastian Vettel untuk musim 2021 ini. Pelumba kelahiran Jerman ini bersama Ferrari selama 7 tahun tetapi gagal beraksi cemerlang dari empat kemenangan yang lalu ketika bersama Red Bull Racing. Vettel akan memandu AMR21 ini buat kali pertama tetapi Aston jujur apabila bercakap tentang peluang untuk menang pada musim ini.
Menurut pengarah teknikal Aston F1, Andrew Green, walaupun cita-cita pasukan sangat tinggi tetapi mereka harus berjuang di bahagian tengah, seterusnya berusaha keras untuk merapatkan jurang dan berada di tempat tiga teratas sebelum melangkah lebih maju ke hadapan.
Sumber : Carscoops