Seperti yang pernah diceritakan, generasi awal siri Lancer Evolution bukanlah sebuah model produksi massa yang sebenar. Ia bersifat homologasi dan hanya dikeluarkan dalam tempoh tentu, sebelum digantikan dengan model generasi baru yang dipertingkatkan.
Model-model ini juga tidak dibina untuk pasaran luar Jepun. Kebanyakan yang tiba di sini merupakan model saduran, dengan nilai harga yang agak berpatutan. Bimbang juga kalau bawak tak boleh jual. Dalam pada takde tu, ada juga sebijik dua yang sempat menyelit. Salah satu darinya adalah kereta milik Zu ini, yang hadir sebagai sebuah Lancer Evolution VI yang sebenar.
Alah membeli, sedikit peningkatan telah dilakukan pada sudut luaran, menerusi padanan kit badan Evo VI TME yang serba lengkap. Diselitkan juga beberapa komponen tambahan yang lain seperti hood gentian karbon Varis, skirt bawah gentian karbon DAMD, serta cermin sisi gentian karbon dari Ganador. Tidak ketinggalan penggunaan kit splitter aluminium rekaan GME Racing, yang nampak tersisip kemas pada bumper depan.
Sektor pengendalian dimantopkan dengan set suspensi boleh laras jenis Tein Super Street. Sistem brek Brembo yang sudah sedia baik, telah diperkemaskan semula dengan set rotor dari Project U. Bagi memberi gambaran lebih menyelerakan, keseluruhan ruang roda kini dihuni rim Advan RG berukuran 17-inci, sebelum dibalut tayar Westlake bersaiz 245/40ZR-17.
Sebagai sebuah CP9A yang asli, tujahan dari enjin 4G63T yang dibekalkan nampaknya sudah memadai. Cuit sikit-sikit pun dah boleh senyum. Sementelah itu, Zu lebih berminat untuk memberikan rupa lebih kemas dan teratur kepada enjin ini, yang mungkin boleh dijadikan contoh rujukan kepada mereka yang berminat.
Peningkatan kuasa datang dari sepasang camshaft HKS 272° yang digunakan. Bahagian sistem pendesak masih menggunakan turbo TD05HRA yang asal, namun dicekapkan dengan tambahan komponen berkaitan seperti manifold turbo GME Racing, termasuk wastegate Tial 38mm yang berfungsi meredakan tekanan pada perumah turbo.
Sebaik disejukkan, boost yang terhasil akan dibawa ke mulut throttle body Super90, sebelum lebihan tekanan dilepas keluar menerusi injap pelepas Blitz. Bekalan bahan api pula datang dari pam petrol Walbro dan dipancitkan ke kebuk pembakaran menggunakan set injektor Sard 800cc pada rel bahan api Works Engineering. Untuk seliaan lebih tepat, perjalanan enjin seterusnya ditala menggunakan unit ECU Link g4+.
Persembahan dalaman menjadi lebih mudah, memandangkan ia sudah dilengkapi komponen paling premium untuk model ini. Begitu pun, Zu tetap menyarungkan beberapa jajan tambahan seperti tempat duduk Recaro SPG, stereng Momo Tuner, serta rangkaian aksesori RalliArt untuk karpet dan tombol gear. Bantuan pemantauan pula datang dari gugusan meter Defi, serta unit kawalan boost HKS AVC…
SPESIFIKASI
- Pemilik – Ahmad Zuhaili
- Pengeluar – Mitsubishi
- Model – Lancer Evolution VI (CP9A)
- Tahun – 2000
- Enjin asal – 4G63T
- Modifikasi Enjin -Camshaft HKS 272°, turbo TD05HRA, manifold turbo GME Racing, wastegate Tial 38mm, paip intercooler kustom, throttle body Super90, injap pelepas Blitz, pam petrol Walbro, injektor Sard 800cc, rel bahan api Works Engineering, regulator Sard, ECU Link g4+, radiator aloi Koyorad
- Transmisi – Manual, set klac plet berkembar Xtreme Rigid
- Ekzos – Paip kustom 3-inci, muffler Skunk2 Mega Power
- Luaran – Kit badan Evo VI TME, hood gentian karbon Varis, skirt bawah gentian karbon DAMD, cermin sisi gentian karbon Ganador, kit splitter aluminium GME Racing
- Suspensi – Tein Super Street
- Brek – Brembo, rotor Project U
- Rim & Tayar – Advan RG 17-inci & Westlake 245/40ZR-17
- Dalaman – Tempat duduk Recaro SPG, stereng Momo Tuner, karpet & tombol gear RalliArt, meter Defi, HKS AVC
- Bengkel – Nas Motorsport, Fadec Racing, Dworks Racing